
PUTRAJAYA – Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Lembah Klang petang semalam mencatatkan jumlah terkumpul sehingga lima kali ganda terutama di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, rekod sehingga pukul 5.30 petang semalam menunjukkan Lembah Keramat mencatatkan jumlah hujan terkumpul tertinggi iaitu 155.5 milimeter.
Ia diikuti Kampung Berembang sebanyak 145.5 milimeter dan stesen Jabatan Pengairan dan Saliran Ampang (133.5 milimeter).
Menurut beliau, hujan biasa mencatatkan bacaan 30 milimeter, sekali gus menunjukkan cuaca semalam dianggarkan tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi.
“Secara keseluruhannya, kejadian hujan lebat pada petang semalam mencatatkan jumlah hujan terkumpul yang sangat tinggi khususnya di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat di sekitar Ampang.
“(Hujan) Biasa 30 milimeter, semalam lima kali ganda iaitu 155 milimeter (hujan lebat),” katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur menerima beberapa panggilan berhubung kejadian banjir kilat yang melanda ibu negara membabitkan Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang.
Fadlun berkata, jumlah hujan terkumpul yang tinggi di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat turut mengakibatkan aliran air permukaan dan paras sungai di kawasan hilir meningkat. – KOSMO! ONLINE
The post Hujan lima kali ganda semalam punca banjir kilat di Lembah Klang appeared first on Kosmo Online.






