
PETALING JAYA – Operasi Pembenihan Awan (OPA) selama dua hari di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berjaya menghasilkan taburan hujan tertinggi sebanyak 80.22 milimeter di Empangan Klang Gates, semalam.
Operasi yang dilaksanakan pada 19 dan 20 September itu merupakan langkah intervensi bagi mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di beberapa lokasi ke tahap tidak sihat.
Menurut maklumat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), operasi berkenaan menggunakan pesawat C130-Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Nadma dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Sebanyak empat tangki larutan garam digunakan sepanjang misi pembenihan awan berkenaan. Analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mendapati kehadiran awan konvektif dan kumulus menara selain kelembapan atmosfera yang tinggi membantu keberkesanan operasi tersebut,” tulis Nadma dalam satu kenyataan.
Sementara itu, MetMalaysia memaklumkan pemantauan keadaan cuaca akan diteruskan bagi memastikan perkembangan terkini dapat disampaikan kepada orang ramai.
Orang ramai disaran mendapatkan ramalan dan amaran cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia, aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi jabatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post OPA 2 hari hasilkan hujan 80.22 milimeter di Empangan Klang Gates appeared first on Kosmo Online.






