Hujan sebelah petang kurangkan impak jerebu

2 Oct 2023 • 9:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan hujan di sebelah petang memberi impak positif terhadap masalah jerebu yang dialami negara. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Fredolin

SHAH ALAM - Masalah jerebu dihadapi negara pada ketika ini tidak akan bertambah buruk berikutan cuaca hujan pada sebelah petang.

Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Fredolin Tangang berkata, negara kini berhadapan musim perantaraan monsun yang bermula September lalu dan keadaan ini akan mempengaruhi kualiti udara.

“Antara ciri-ciri musim ini hujan, ribut petir pada waktu petang dan malam.

“Keadaan ini dapat memberi impak positif terhadap jerebu yang dialami negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Fredolin berkata, ketika ini ribut tropika Koinu sedang membadai barat Lautan Pasifik berhampiran Filipina.

“Keadaan ini akan mempengaruhi tiupan angin seakan Monsun Barat Daya yang menyebabkan asap dan jerebu kesan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia bergerak ke Semenanjung.

“Jika kebakaran hutan di Kalimantan, Sarawak juga berdepan masalah jerebu,” katanya.

Menurut Fredolin, cuaca kering dan kemarau di Indonesia disebabkan fenomena El Nino dan Indian Ocean Dipole yang kini berada dalam fasa positif.

“Keadaan kering di kedua-dua wilayah Indonesia ini dijangka berterusan sehingga November depan,” katanya.

Fredolin berkata, corak tiupan angin menyebabkan negara mengalami fenomena jerebu rentas sempadan.

Tambahnya, ribut tropika Koinu dijangka akan berterusan dalam tempoh satu minggu atau lebih dan ketika ini Malaysia mengalami corak tiupan angin dari arah selatan.