Hukum keluar dengan bekas isteri

LocalFamily & Parenting
31 Jul 2026 • 12:44 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Hukum keluar dengan bekas isteri

APAKAH hukum suami saya masih berjumpa dengan bekas isterinya dengan alasan berjumpa anak yang masih kecil dan meluangkan masa bersama-sama tanpa ditemani orang lain? Apa nasihat ustaz untuk saya supaya tidak ada perasaan ragu-ragu atau curiga terhadap suami semasa mereka berjumpa atau keluar? 

JAWAPAN: PADA asalnya, hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah sama seperti dua orang yang ajnabi (asing) berlainan jantina berjumpa. Berkenaan hukumnya, ia perlu melihat kepada keperluan. 

Sekiranya tidak ada keperluan, sedangkan perjumpaan membawa kepada memandang, berkhalwat dan bercakap secara mesra antara satu sama lain, maka tidak dibenarkan. 

Ini berdasarkan firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. 

Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30) Namun begitu, dalam situasi hajat dan darurat, harus sesama ajnabi itu memandang antara satu dan lain. 

Para ulama menggariskan beberapa panduan berkenaan hal-hal keperluan yang mengharuskan memandang iaitu pertama meminang, belajar, berubat, bermuamalat, kesaksian dalam kes mahkamah dan hakim meminta sumpah dan menjatuhkan hukum. 

(Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/50) Pengecualian ini berdasarkan kadar keperluan sahaja dan tidak melebihi daripada keperluan. Jika tujuannya adalah untuk berseronok seronok, maka diharamkan. 

Sebahagian ulama berpendapat harus lelaki memandang wanita pada wajah dan dua tapak tangannya jika aman daripada fitnah dan tidak disertai dengan syahwat. Ini dipersetujui oleh Imam al-Bajuri. 

(Rujuk al Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah, hlm. 205) Berdasarkan fakta dan hukum di atas, kami berpendapat hukum bekas pasangan suami isteri berjumpa adalah diharuskan. 

Ini kerana, suami masih lagi memiliki tanggungjawab terhadap anak yang berusia empat tahun itu daripada sudut memberikan nafkah dan pendidikan. Pastinya, itu akan membawa kepada hubungan muamalat melibatkan perjumpaan dan perbualan dengan bekas isteri yang merupakan penjaga bagi kanak kanak tersebut. 

Justeru, berjumpa dan berbual dengan bekas isteri bagi tujuan maslahat anak adalah diharuskan. Adapun berkenaan dengan khalwat, maka tidak boleh mereka berkhalwat atau bersendirian kerana mereka adalah ajnabi. Wajib terdapat orang ketiga yang boleh menemani mereka sama ada mahram bagi wanita atau wanita Muslim yang terpercaya yang diyakini boleh menegah mereka daripada melakukan perzinaan. 

Tidak disyaratkan orang tengah tersebut adalah isteri kedua tersebut. Boleh juga sesi perjumpaan itu dibuat di khalayak ramai dalam keadaan tidak menimbulkan fitnah. 

Oleh itu, kami mencadangkan agar puan yang bertanya menasihati mereka dengan perkara berikut. Pertama, hendaklah menjaga pergaulan mereka semata-mata untuk maslahat anak dan bukan untuk tujuan maksiat. 

Kedua, mendapatkan khidmat orang tengah yang boleh mencegah mereka daripada melakukan maksiat atau berjumpa di khalayak ramai. Ketiga, menasihati suami agar menjalankan tugas dengan baik sebagai seorang ayah dengan menyediakan nafkah dan pendidikan sempurna kepada anaknya. 

Keempat, menasihati suami agar sentiasa berlaku jujur dan adil dalam setiap tindakan yang akan memberikan kesan kepada kedua-dua keluarga. Kelima, berdoa agar setiap pihak mendapat kebaikan dan hidup dalam kasih sayang dengan Allah, sekalipun selepas bercerai. 

Selain daripada nasihat yang kami sebutkan di atas, kami mengatakan bahawa kecemburuan puan dalam hal ini menandakan puan adalah normal dan kebiasaan bagi wanita. Namun, janganlah sampai kecemburuan itu menghasilkan natijah yang buruk hanya kerana prasangka. 

Justeru, hendaklah puan bersangka baik kepada Allah dan menyerahkan urusan diri kepada-Nya setelah kita sudah bertawakal dan berusaha. Sebagai seorang wanita, hendaklah puan meningkatkan ketakwaan dan serta mempersiapkan diri dengan ilmu rumah tangga yang sebenar mengikut al-Quran dan sunah berkenaan hak-hak diri sendiri, pasangan dan perkara penting yang berkaitan dengannya. 

Misalnya, undang-undang keluarga Islam dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. Puan juga boleh merancang aktiviti pembangunan insan bersama dengan suami seperti menghadiri kuliah berkeluarga di pusat-pusat pengajian seperti masjid dan surau. 

Begitu juga dengan melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, bertadarus al-Quran dan berpuasa bersama. 

Dengan itu, puan akan lebih banyak masa berkualiti dan pasti akan membekaskan memori yang positif dalam hubungan suami isteri. Pastinya ini akan menegah unsur-unsur negatif seperti sangka buruk dan hal remeh-temeh dalam rumah tangga.

The post Hukum keluar dengan bekas isteri appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved