
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 56 tahun yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 20 tahun dan tiga sebatan kerana dua pertuduhan melakukan kesalahan seksual fizikal terhadap anak perempuannya di bawah umur menyaksikan hukumanya ditambah pada Isnin dengan enam tahun penjara dan empat lagi sebatan.
Hakim Mahkamah Tinggi Maslinda @ Linda Mohd Ainal memerintahkan tambahan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (SOACA) 2017.
Mahkamah turut mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut.
Terdahulu ketika menyampaikan keputusan terhadap rayuan tertuduh yang mencabar sabitan dan hukuman Maslinda menolak rayuan tersebut dengan menyatakan tiada alasan untuk campur tangan terhadap dapatan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen.
Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen tidak berlebihan dan telah diputuskan selepas mengambil kira kepentingan awam dalam kes berkenaan.
Menurutnya tiada apa-apa dalam Nota Prosiding yang menunjukan hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan faktor mitigasi yang dikemukakan pihak pembelaan.
Maslinda turut menjelaskan bahawa kesalahan tersebut tertakluk di bawah Seksyen 16(1) SOACA 2017 dan mendapati terdapat kelompongan dalam alasan penghakiman sebelum ini kerana peruntukan hukuman di bawah seksyen tersebut tidak dinyatakan secara jelas.
“Oleh itu dengan menggunakan kuasa di bawah Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah, mahkamah akan mengenakan hukuman selaras dengan Seksyen 16(1) akta berkenaan,” katanya.
Untuk rekod Seksyen 16(1) SOACA 2017 terpakai apabila pesalah berada dalam kedudukan amanah atau mempunyai kuasa terhadap kanak-kanak termasuk sebagai ibu bapa.
Pada 19 Disember 2024 perayu didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas perbicaraan penuh terhadap dua pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan kerana melakukan kesalahan terhadap mangsa berusia 12 tahun dengan menjilat payudara mangsa pada petang 3 Oktober 2022 di sebuah rumah di Kepayan Ridge.
Bagi pertuduhan kedua dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan kesalahan yang sama terhadap mangsa yang sama antara April hingga Mei 2022 di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 14(a) SOACA 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen sebelum ini mengarahkan hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut bermula dari tarikh sabitan.
Perayu diwakili peguam Md Al Hafidz Lokman manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sofia S Sawayan.
