
Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas pekerja kilang papan dengan penjara 40 tahun kerana membunuh dan merogol seorang jururawat sembilan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Mohammad Awari Ahmad di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Hakim Mahkamah Persekutuan itu turut mengarahkan Mohammad Awari, 31, dikenakan sebatan 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 1 Mac 2015.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Harmindar berkata meskipun keadaan jenayah yang dilakukan oleh Mohammad Awari agak luar biasa namun terdapat satu faktor pengurangan yang melepaskan dia daripada tali gantung iaitu umurnya yang masih muda ketika kejadian.
Beliau juga memerintahkan Mohammad Awari menjalani hukuman penjara bagi sabitan membunuh serentak dengan hukuman bagi kesalahan merogol.
Turut bersidang Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah.
Terdahulu, peguam Gurbachan Singh berkata beliau mengakui keseriusan jenayah itu sehingga menyebabkan kehilangan satu nyawa namun meminta agar hukuman mati diganti dengan pemenjaraan kerana anak guamnya hanya berumur 22 tahun ketika kejadian.


