
Pada Mei tahun lalu, Gabriel Paul Horcasitas dijatuhkan hukuman penjara 10.5 tahun kerana membunuh Christopher Pelkey dalam satu insiden buli jalan raya. Ia kes yang unik dalam sejarah kerana Christopher Pelkey “dihidupkan” semula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif bagi memberikan keterangan impak tindakan Horcasitas ke atas keluarga mangsa.
Hukuman ini walau bagaimanapun telah dibatalkan Mahkamah Rayuan Arizona minggu ini kerana video AI bercakap kepada hakim semasa prosiding hukuman dianggap tidak boleh dipercayai. Mahkamah turut memutuskan bahawa video itu bukan rekod peristiwa sebenar, sebaliknya menggambarkan pemikiran yang dibina berdasarkan imaginasi kakak mangsa, Stacey Wales.
Stacey Wales mengambil masa dua tahun untuk menjana video Christopher memberikan keterangan dalam mahkamah. Wales yang bekerja dalam industri teknologi mengatakan biasanya video AI digunakan beliau untuk menghasilkan video ucapan CEO yang tidak dapat hadir ke majlis syarikat. Gambar dan video Pelkey semasa masih hidup digunakan untuk menghasilkan video keterangan di mahkamah.
Orang yang mati dihidupkan semula menggunakan teknologi bukanlah inovasi baharu. Mendiang Tupac Shakur dan Ronnie James Dio telah dihidupkan semula sebagai hologram untuk melakukan persembahan. Pada tahun 2022 pula, Marina Smith seorang wanita di UK berbicara dengan hadirin acara pengebumian beliau. Chatbot yang dijana AI menjawab soalan berdasarkan maklumat yang diberikan Smith sebelum meninggal dunia.
Sumber – CBS News






