KOTA BHARU – Samseng jalanan termasuk mereka yang terlibat dalam kegiatan mat rempit bakal berdepan hukuman lebih berat, antaranya penjara apabila pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dikuatkuasakan mulai 1 November ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pindaan yang sudah diluluskan Parlimen itu kini hanya menunggu proses pewartaan akhir selepas JPJ menerima pandangan Jabatan Peguam Negara.
“Pindaan terhadap Akta 333 sudah diluluskan Parlimen dan jika semuanya berjalan lancar, pindaan ini akan dikuatkuasakan bermula bulan depan.
“Akta ini akan mengenakan hukuman yang jauh lebih berat antaranya melibatkan hukuman penjara terhadap kesalahan ‘mat rempit’,” katanya dalam satu podcast.
Menurut Muhammad Kifli, pindaan itu juga akan memudahkan pegawai penyiasat mengambil tindakan di bawah Seksyen 42(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, peruntukan baharu itu bakal memperkukuh tindakan terhadap kegiatan perlumbaan haram, samseng jalanan dan aktiviti menunggang atau memandu secara berbahaya.
“Pindaan ini akan turut memberikan peruntukan undang-undang yang lebih kukuh kepada agensi penguat kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
“Kegiatan mat rempit merupakan isu di peringkat nasional dan memerlukan penguatkuasaan berterusan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, masalah mat rempit yang berulang di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini akan ditangani menerusi kerjasama lebih erat dengan pihak berkuasa lain.
“Isu mat rempit di lapangan terbang Kota Bharu adalah masalah yang berulang dan JPJ akan bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan penguatkuasaan terus diambil,” katanya.





