
PUTRAJAYA – Seorang guru bahasa Arab dipenjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar perempuan dalam perpustakaan sebuah sekolah enam tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panal tiga hakim yang diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan selepas menolak rayuan Ahnaf Afiq Shairul Bazri, 35, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.
Pada masa sama hukuman pemenjaraan 10 tahun yang dijatuhkan hari ini selepas panel hakim membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan selaku responden dalam rayuannya untuk menaikkan hukuman penjara yang sebelum ini hanya dikenakan pemenjaraan lapan tahun.
Dengan keputusan itu, hukuman penjara asal tertuduh bagi kesalahan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) digandakan daripada empat tahun kepada lapan tahun manakala perintah hukuman penjara tambahan selama dua tahun di bawah Seksyen 16(1) akta sama yang mana kesemua jumlah pemenjaraan hukuman penjara selama 10 tahun serta dua kali sebatan.
Di bawah Seksyen 14(a) hukuman bagi kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak ialah pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan sebatan.
Sekiranya kesalahan dilakukan oleh seseorang yang mempunyai hubungan amanah dengan mangsa seperti guru, jurulatih, atau ahli keluarga yang terdekat pesalah berdepan dengan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16 akta sama, iaitu hukuman penjara tambahan sehingga lima tahun dan sebatan.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohamed Zaini menyatakan Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam mensabitkan perayu yang sebelum itu mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan perayu sebelum itu.
“Keterangan saksi pendakwaan kedua (SP2) (mangsa) jelas dan cukup terperinci. Mangsa telah menghuraikan perbuatan tertuduh terhadapnya di dalam bilik (perpustakaan) tersebut. Keterangannya juga disokong oleh pendedahan yang dibuat kepada ibunya serta-merta pada hari kejadian.
“Kami tidak menganggap percanggahan berhubung kedudukan SP2 ketika saksi pendakwaan keempat (SP4) (rakan mangsa) memasuki bilik tersebut sebagai sesuatu yang cukup material untuk menjejaskan kebolehpercayaan keterangannya.
“Kami bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa keterangan tersebut boleh diselaraskan apabila dinilai secara keseluruhan,” Hakim Zaini.
Sementara itu berhubung keputusan membenarkan rayuan pendakwaan untuk menaikkan hukuman, mahkamah berpendapat ia adalah wajar mengikut trend apatah lagi mengambil kira kedudukan tertuduh yang merupakan seorang guru yang diamanahkan menjaga murid-murid.
“Kami bersetuju bahawa kesalahan ini adalah serius kerana mangsa baru berusia lapan tahun dan tertuduh telah menyalahgunakan kedudukan kepercayaan yang diberikan kepadanya sebagai guru.
“Kami tidak berpuas hati bahawa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi adalah memadai. Justeru itu, kami mengetepikan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara selama lapan tahun untuk kesalahan di bawah Seksyen 14(a) serta penjara dua tahun sebagai tambahan di bawah Seksyen 16(1) akta yang sama dan dua kali sebatan,” kata Hakim itu lagi.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Shahir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly.
Semasa prosiding Ahnaf Afiq diwakil peguam Mohd. Radzi Yatiman manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff.
Mengikut pertuduhan, Ahnaf Ariq didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang murid perempuam berusia lapan tahun (umur ketika kejadian) dalam perpustakaan sebuah sekolah di Muar, Johor antara pukul 10.20 hingga 11.20 pagi, pada 3 Oktober 2019.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga hukuman sebat, manakala Seksyen 16 (1) tambahan hukuman, penjara tidak melebihi lima tahun dan sebatan tidak kurang dua kali.
Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Muar menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan sebatan bagi kes di bawah Seksyen 14 manakala dua tahun serta sebatan untuk Seksyen 16.
Terdahulu pada 19 Mac 2025 Mahkamah Sesyen memerintahkan melepas dan membebaskan tertuduh kerana didapati wujud percanggahan saksi pendakwaan dalam akhir kes pembelaan. – KOSMO! ONLINE
The post Hukuman penjara guru ‘sentuh’ murid dalam perpustakaan dinaikkan ke 10 tahun, sebatan appeared first on Kosmo Online.





