PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini menaikkan hukuman penjara seorang guru Bahasa Arab daripada enam tahun kepada 10 tahun dengan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap murid perempuan berusia lapan tahun, tujuh tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang bersidang bersama dengan Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan Datuk Dean Wayne Daly membuat keputusan sebulat suara itu selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara terhadap Ahnaf Afiq Shairul Bazri, 35 tahun.
"Kami mengetepikan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman penjara lapan tahun bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Fizikal Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penjara dua tahun sebagai tambahan di bawah Seksyen 16(1) akta sama dan dua sebatan.
"Mahkamah turut memerintahkan responden menjalani perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman pemenjaraan,” kata Mohamed Zaini yang turut menolak rayuan akhir Ahnaf Afiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Muar pada 11 Mac 2026.
Mahkamah turut memerintahkan supaya waran pemenjaraan dikeluarkan serta-merta untuk Ahnaf Afiq menjalani hukuman dan wang jaminan dipulangkan kepada penjamin.
Dalam penghakiman ringkas, Mohamed Zaini berkata mahkamah tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, mengambil kira kesalahan dilakukan lelaki itu adalah serius.
"Mangsa baru berusia lapan tahun dan tertuduh menyalahgunakan kedudukan dan kepercayaan diberikan kepadanya sebagai guru yang diamanahkan dengan penjagaan serta pendidikan murid. Ini adalah faktor pemberatan yang penting.
"Tertuduh juga mengakui dia membawa mangsa ke dalam bilik dan menutup pintu. Oleh itu, kami dapati sabitan adalah selamat dan rayuan terhadap sabitan ditolak,” katanya.
Beliau berkata keterangan mangsa yang juga saksi pendakwaan kedua (SP2) adalah jelas, terperinci dan disokong oleh pendedahan serta-merta kepada ibunya (saksi pendakwaan pertama) pada hari kejadian.
"Kami tidak menganggap percanggahan berhubung kedudukan SP2 ketika saksi pendakwaan keempat, iaitu rakan sekolah mangsa memasuki bilik itu sebagai sesuatu yang cukup material untuk menjejaskan kebolehpercayaan keterangannya,” katanya.
Pada 19 Mac 2025, Mahkamah Sesyen Muar melepas dan membebaskan Ahnaf Afiq daripada pertuduhan itu di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Muar membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan itu dan mensabitkan lelaki itu serta menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan bagi Seksyen 14(a) dan hukuman tambahan dua tahun penjara dan dua sebatan bagi Seksyen 16(1), setelah selesai menjalani hukuman utama.
Ahnaf Afiq didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun bagi maksud seksual di dalam bilik kerja perpustakaan sebuah sekolah rendah di Muar antara 10.20 pagi hingga 11.20 pagi 3 Oktober 2019.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Aznin Mohamed Ariff mewakili pihak pendakwaan manakala Ahnaf Afiq diwakili peguam Mohd Radzi Yatiman dan Nor Hafizah Abdullah. - Bernama





