
KUALA LUMPUR – Hukuman rotan boleh dilaksanakan semula di sekolah jika perlu, namun perlu diselia dengan kawalan ketat.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menyokong pelaksanaan semula hukuman berkenaan, dengan syarat ia dibuat secara terkawal bagi memastikan keberkesanan dalam mendisiplinkan pelajar.
Bercakap dalam sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, beliau mengakui hukuman itu bersifat kontroversi namun menegaskan, langkah tersebut mungkin perlu diambil dalam keadaan tertentu.
“Saya pernah menjadi guru dan saya ingat saya pernah merotan puluhan pelajar, tetapi dengan kawalan,” katanya.
Bagaimanapun Perdana Menteti mengakui, beliau faham apabila ada pandangan menyifatkan hukuman seumpama itu sebagai satu penderaan kanak-kanak.
“Saya faham, ada beberapa pandangan, contohnya daripada kumpulan hak asasi manusia yang menganggap hukuman ini sebagai satu bentuk penderaan kanak-kanak, jadi saya faham kontroversinya,” katanya.

Perdana Menteri menyatakan demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada RSN Rayer (PH–Jelutong) berhubung cadangan memberi kuasa budi bicara kepada guru dalam melaksanakan hukuman rotan, sebagai langkah mendisiplinkan pelajar.
Anwar turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang dan menambah, kenakalan dalam kalangan pelajar adalah perkara biasa.
“Apabila anak-anak melanggar peraturan secara keterlaluan, hukuman tetap perlu diberikan.
“Namun ini pandangan peribadi saya, bukan dasar kerajaan,” tambahnya lagi.
Menurutnya, sebarang keputusan mengenai pelaksanaan semula hukuman rotan mesti dibuat dengan berhati-hati melalui rundingan bersama semua pihak berkepentingan, di bawah panduan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
“Saya percaya perkara ini perlu dikaji, diperhalusi dan dibincangkan dengan semua pihak sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Saya hanya menyuarakan pandangan peribadi kerana bagi saya hukuman rotan bukan termasuk dalam kategori penderaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan bersetuju mengekalkan kehadiran polis di sekolah susulan peningkatan kebimbangan terhadap kes buli, penderaan dan jenayah.
“Kita akan keluarkan garis panduan bagi memastikan pemantauan oleh pihak polis tidak menimbulkan rasa takut atau cemas dalam kalangan pelajar,” katanya. - Getaran, 23 Oktober 2025
