Hukuman Sebat Pesalah Khalwat Berkali-kali Ditangguhkan

Entertainment
4 Dec 2024 • 4:20 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, seorang duda di Kuala Terengganu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai kerana kesalahan berkhalwat berulang kali.

Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu bagaimanapun menangguhkan pelaksanaan hukuman sebatan itu yang sepatutnya dijalankan di khalayak ramai di Masjid Al-Muktafi Billah Shah pada Sabtu.

 

Menurut laporan Kosmo!, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penangguhan itu disebabkan permohonan semakan hukuman tersebut yang difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu kelmarin.

“Perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

Permohonan semakan tersebut merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman (syariah),” katanya.

Mohd. Affendi Awang yang juga duda anak lima itu dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai berikutan kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.

Hukuman sebatan tersebut pertama kali akan dilaksanakan secara terbuka di khalayak ramai di Terengganu kerana sebelum ini ia dilakukan secara tertutup.

Muhammad Khalil juga menegaskan penangguhan hukuman sebat terbabit merupakan prosedur biasa dan bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.