
KINGSTON UPON HULL: Manchester United memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan langkah sumbang apabila dikejutkan Hull City 0-2 di Stadium MKM, sekali gus memberi tamparan awal kepada impian mereka memburu kejuaraan musim ini.
Skuad kendalian Michael Carrick itu gagal bangkit selepas tuan rumah meledak dua gol pada babak pertama menerusi Semi Ajayi dan Nobel Mendy untuk menghadiahkan Hull kemenangan bergaya dalam kemunculan semula mereka di EPL sejak 2017.
Lebih mengejutkan, Hull tampil penuh bertenaga walaupun terpaksa mengharungi masalah kecederaan membabitkan 10 pemain, sebaliknya United kelihatan gagal memanfaatkan status mereka sebagai pasukan yang lebih berpengalaman.
Kekalahan itu turut memperlihatkan United masih jauh daripada tahap diperlukan untuk mencabar juara bertahan Arsenal selepas menamatkan musim lalu di tempat ketiga, dengan pemain baharu Youri Tielemans dan Andrey Santos gagal memberi impak dalam penampilan sulung mereka.
United sebenarnya memulakan permainan dengan baik apabila Bryan Mbeumo hampir membuka jaringan menerusi rembatan hasil hantaran Luke Shaw, namun penjaga gol debutan Hull, Konstantinos Tzolakis bertindak cemerlang menafikannya.
Bagaimanapun, Hull kemudian menghukum kelemahan United apabila Ajayi menyambar bola muntah pada minit ke-17 sebelum Mendy menggandakan kelebihan pada minit ke-38 menerusi tandukan daripada sepakan percuma Regan Slater, manakala kemasukan Marcus Rashford pada babak kedua juga gagal mengubah nasib United yang terus dihimpit tuan rumah hingga wisel penamat. – AGENSI
The post Hull malukan United pada aksi pembukaan appeared first on Utusan Malaysia.



