Hussamuddin nafi terlibat skim pelaburan patuh syariah

22 Jul 2023 • 9:47 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hussamuddin menerusi hantaran di Facebooknya menafikan terlibat dengan pihak yang kononnya menawarkan skim pelaburan saham patuh syariah. Gambar kecil: Hussamuddin

image is not available
Marhaini

SHAH ALAM - Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub tampil menafikan penglibatan dengan pihak kononnya menawarkan skim pelaburan saham patuh syariah di media sosial Facebook.

Beliau mendakwa, ia modus operandi scammer dan berharap orang ramai tidak tertipu dengan iklan berkenaan.

“Ini scam, jangan percaya. Penipu,” katanya pada Sabtu.

Iklan berlegar di media sosial itu menggunakan gambar Hussamuddin dan juga Pengerusi Lembaga Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan suntingan skim pelaburan serendah RM300.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff ketika dihubungi berkata, laporan polis akan dibuat segera bagi memastikan tidak ada pihak yang menjadi mangsa.

“Laporan terhadap hantaran tersebut juga telah dibuat kepada pihak Facebook selain kakitangan kami juga menghubungi akaun media sosial berkenaan agar menurunkannya.

“Ramai yang memberikan pelbagai respons di ruangan komen hantaran berkenaan dan apa yang dibimbangi ada yang percaya dan mungkin tertipu,” katanya.

Katanya lagi, poster disunting itu pada asalnya adalah promosi bagi program Arafah #QuranHour yang berlangsung pada 28 Jun lalu.

“Kita tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk menggunakan atau menyunting poster bagi setiap program kami bagi tujuan promosi sebarang bentuk pelaburan.

“Kita harap tidak ada lagi pihak yang menggunakan gambar individu yang terlibat dalam program berkaitan al-Quran bagi tujuan meyakinkan orang ramai dengan penipuan mereka," jelasnya.