SHAH ALAM - Kawasan hutan bukit dianggarkan berkeluasan kira-kira 0.8 hektar di Bandar Puncak Alam dekat Kuala Selangor terbakar pagi tadi, dengan operasi memadam kebakaran sedang giat dijalankan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada 10.06 pagi sebelum sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya digerakkan ke lokasi.
"Jentera bomba yang tiba di lokasi pada 10.34 pagi mendapati kebakaran melibatkan kawasan hutan bukit dengan anggaran keluasan kira-kira dua ekar (0.8 hektar).
"Anggota bomba sedang melaksanakan kerja-kerja membuat firebreak dan menjalankan operasi pemadaman dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashrul Riezal berkata operasi membabitkan empat anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bestari Jaya, manakala PBS Saujana menggerakkan empat anggotanya bagi membantu usaha mengawal kebakaran.
Beliau berkata setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan. - Bernama




