
KUALA SELANGOR – Sesi persekolahan petang di Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 2 di sini dibatalkan hari ini susulan kebakaran hutan bukit seluas 0.8 hektar di belakang sekolah yang menyebabkan kawasan persekitaran diselubungi asap.
Pihak pentadbiran sekolah berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah pencegahan selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid berikutan kualiti udara yang berpotensi menjejaskan warga sekolah.
Menurutnya, pihak sekolah segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak selain selain memantau keadaan semasa secara berterusan.
Katanya, pelitup muka turut diagihkan kepada murid sesi pagi, manakala murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti asma, alahan atau mengalami ketidakselesaan akibat asap ditempatkan di kawasan yang lebih selamat di bawah pemantauan guru.
“Semua murid turut dipastikan berada dalam keadaan selamat sehingga tamat sesi persekolahan.
“Setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid serta keadaan kualiti udara semasa, pihak sekolah memutuskan sesi persekolahan petang hari ini dibatalkan sebagai langkah pencegahan demi menjaga kebajikan semua murid,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi sekolah hari ini.
Tambah kenyataan itu, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan memastikan anak-anak berada di rumah serta mengurangkan aktiviti luar sekiranya keadaan berjerebu atau berasap.
Mereka juga diminta memantau tahap kesihatan anak-anak, khususnya yang mempunyai penyakit berkaitan sistem pernafasan, selain sentiasa mengikuti hebahan rasmi daripada pihak sekolah.
“Keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan pihak sekolah,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan kawasan hutan bukit seluas 0.8 hekter terbakar berhampiran berhampiran sebuah sekolah rendah di Puncak Alam di sini. – KOSMO! ONLINE
The post Hutan belakang sekolah terbakar, sesi petang SK Puncak Alam 2 batal appeared first on Kosmo Digital.






