
WASHINGTON: Hutang negara kasar Amerika Syarikat (AS) melonjak melepasi AS$40 trilion (RM161.8 trilion) buat kali pertama, mengatasi unjuran terdahulu pada kadar yang sebahagiannya didorong oleh tarif yang diperkenalkan Presiden Donald Trump tetapi kemudiannya dibatalkan.
Peningkatan pinjaman itu berlaku ketika komitmen jangka panjang AS berkaitan keselamatan sosial dan penjagaan kesihatan terus meningkat, selain bayaran faedah yang turut bertambah.
Jumlah hutang awam tertunggak mencecah AS$40.05 trilion pada akhir urus niaga kelmarin, menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perbendaharaan pada Rabu.
Angka itu berbeza dengan unjuran terdahulu Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang menjangkakan jumlah pinjaman mencapai AS$39.4 trilion (RM159 trilion) menjelang akhir tahun fiskal 2026.
Peningkatan hutang AS berlaku ketika kebimbangan terhadap inflasi, perang di Asia Barat dan perbelanjaan kerajaan menggusarkan pelabur, selain kos pinjaman yang semakin meningkat.
Hasil bon Perbendaharaan AS jangka panjang meningkat pada Selasa ke paras tertinggi sejak 2007, mencerminkan tekanan harga yang semakin meningkat susulan perang dengan Iran serta kebimbangan terhadap perbelanjaan defisit AS.
Peningkatan itu memaksa kerajaan AS membiayai semula hutangnya pada kadar faedah tertinggi sejak sebelum krisis kewangan global 2008.
Bagaimanapun, Jabatan Perbendaharaan AS bertindak menstabilkan pasaran bon jangka panjang pada awal Rabu, menyebabkan hasil bon susut.
Kerajaan persekutuan beroperasi dengan defisit dan membuat pinjaman bagi menampung pelbagai komitmennya, termasuk perbelanjaan perang serta pemotongan cukai.
“Sudah lama diketahui bahawa kerajaan Amerika Syarikat berada di landasan yang agak tidak mampan dari segi defisit.
“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Syarikat mencatat defisit kira-kira AS$2 trilion, walaupun dalam keadaan aman dan ekonomi berkembang,” kata Jessica Riedl, felo belanjawan dan cukai di Brookings Institution.
Beliau berkata, jika sebelum ini defisit sekitar tiga hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sudah cukup membimbangkan pasaran kewangan, kini kadarnya menghampiri enam hingga tujuh peratus daripada KDNK.
“Keadaan itu menyebabkan pasaran semakin bimbang,” katanya.
Susulan inflasi yang mendorong kadar faedah meningkat, kos faedah bagi hutang turut melonjak, manakala perbelanjaan berkaitan populasi yang semakin menua terus meningkatkan defisit.- AFP
The post Hutang AS cecah AS$40 trilion, tertinggi dalam sejarah appeared first on Utusan Malaysia.



