johardy18/11/2026 - 09:50 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Hutang dan liabiliti terkumpul Kerajaan Persekutuan mencecah RM1,763.3 bilion pada akhir Jun 2026, bersamaan 80.7% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut jawapan bertulis Kementerian Kewangan (MOF) di Dewan Rakyat.
Daripada jumlah itu, komitmen jaminan bagi pembiayaan projek infrastruktur meningkat RM2.5 bilion kepada RM248.3 bilion, berbanding RM245.8 bilion pada akhir 2025.
Liabiliti lain, yang merangkumi obligasi kewangan di bawah kerjasama awam-swasta dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI), susut RM7.5 bilion kepada RM136.2 bilion daripada RM143.7 bilion pada akhir tahun lalu.
Bagi hutang Kerajaan Persekutuan, MOF mengunjurkan nisbahnya kepada KDNK turun daripada 65.2% pada 2025 kepada 64% pada 2026 dan 63.7% pada 2027.
Di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), kerajaan menyasarkan nisbah hutang itu turun kepada 60% menjelang 2030. MOF berkata sasaran itu akan dicapai secara berperingkat dengan mengambil kira keperluan pembiayaan projek pembangunan strategik jangka panjang.
Jawapan itu diberikan kepada Azli Yusof (PH–Shah Alam), yang meminta angka terkini hutang dan liabiliti kerajaan serta penjelasan mengenai kesan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) terhadap pengurangan defisit dan unjuran fiskal bagi tempoh 10 tahun.
Defisit diunjur turun kepada 3.3% pada 2027
Defisit fiskal mengecil daripada 5.5% KDNK pada 2022 kepada 3.7% pada 2025, lebih rendah daripada sasaran asal 3.8%.
Bagi 2026, MOF mengunjurkan defisit pada 3.6% KDNK berbanding sasaran asal 3.5%, dengan mengambil kira kesan krisis di Asia Barat serta keperluan menyokong ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat.
Defisit diunjurkan turun lagi kepada 3.3% pada 2027. Dalam jangka sederhana, kerajaan menyasarkan defisit di bawah 3% KDNK dan paras hutang pada 60% KDNK atau lebih rendah di bawah Akta 850.
MOF berkata sasaran fiskal di bawah akta itu menjadi panduan dalam penyediaan Belanjawan tahunan dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, di samping memperkukuh pemantauan dan ketelusan kewangan kerajaan.
Kerajaan akan meneruskan usaha mengurangkan defisit dengan memperkukuh kutipan dan pematuhan cukai, meluaskan asas hasil, mengurangkan ketirisan serta memastikan perbelanjaan awam lebih cekap. - DagangNews.com





