Hutang kerajaan diunjur cecah RM1.33 trilion melebihi had siling disebabkan ekonomi perlahan, kata Kenanga

24/07/2025 - 12:37
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 24 Julai - Hutang kerajaan diunjur mencecah RM1.33 trilion atau 65.9% melebihi had siling yang ditetapan tahun ini disebabkan ekonomi yang semakin perlahan dan peningkatan perbelanjaan, menurut Kenanga Research.
Katanya, angka itu sedikit melebihi unjuran Kementerian Kewangan bagi tahun 2025 iaitu 64% dan juga had statutori sebanyak 65%.
Firma penyelidikan itu berkata, pelanggaran itu disebabkan pertumbuhan ekonomi yang perlahan pada separuh kedua 2025, yang menurunkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal dan seterusnya meningkatkan nisbah hutang.
“Paras hutang yang lebih tinggi ini juga mencerminkan keperluan pembiayaan yang meningkat berkaitan dengan langkah sokongan fiskal yang berterusan dan perbelanjaan pembangunan,” katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tunai sekali beri sebanyak RM100, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 selitar dan pembekuan kenaikan tol yang dijadualkan, antara langkah lain yang diharap dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Malaysia telah berusaha untuk mengurangkan defisit belanjawan tahunannya yang berlanjutan sejak Krisis Kewangan Asia.
Kekurangan belanjawan itu mendorong paras hutang lebih tinggi kerana kerajaan perlu meminjam untuk membiayai perbelanjaan yang melebihi hasil pendapatan.
“Pelanggaran sementara terhadap had siling 65% adalah kemungkinan, namun kami menjangkakan kerajaan akan mengurusnya melalui gabungan disiplin fiskal, hasil, dan terbitan hutang yang berhemah,” kata Kenanga.
Di bawah undang-undang fiskalnya, kerajaan perlu memastikan jumlah keseluruhan hutang tertunggak kekal di bawah 65% daripada jumlah nilai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan dalam negara — satu had yang telah dinaikkan daripada 60% sebelum pandemik bagi memberi ruang kepada langkah rangsangan.
Kenanga berkata, langkah-langkah terbaru ini merupakan “pengagihan semula keuntungan makroekonomi terkini” hasil pengukuhan ringgit dan inflasi yang stabil, untuk menyokong permintaan domestik dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Walaupun langkah ini digemari dari segi politik, ia meningkatkan ketegangan antara perbelanjaan sosial jangka pendek dan disiplin fiskal jangka sederhana," katanya.
Tahun ini, kerajaan menyasarkan untuk mengecilkan jurang belanjawan kepada 3.8% daripada KDNK melalui gabungan langkah meningkatkan hasil dan pemotongan perbelanjaan.
Agensi penarafan memberi amaran kegagalan mencapai sasaran penyatuan fiskal boleh menjejaskan penarafan kredit kedaulatan Malaysia dalam kategori pelaburan, yang berpotensi meningkatkan kos pinjaman bukan sahaja bagi kerajaan, tetapi juga bagi perniagaan dan pengguna.
“Keyakinan pelabur yang berterusan, disokong pasaran bon domestik yang stabil dan prospek ringgit yang lebih kukuh, akan menjadi faktor penting dalam menguruskan kelestarian hutang dalam jangka sederhana,” kata Kenanga.- DagangNews.com
featured standard

