Hutang lapuk bank-bank di Malaysia berisiko naik disebabkan tarif AS, kata CGS International

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2025 • 2:17 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hutang lapuk bank-bank di Malaysia berisiko naik disebabkan tarif AS, kata CGS International

image is not available

24/07/2025 - 14:17

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Julai - Hutang lapuk atau hutang yang gagal dituntut di bank-bank Malaysia berisiko meningkat pada tahun ini dan tahun hadapan berikutan tarif Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, kata CGS International.

Katanya, pinjaman kasar terjejas atau hutang yang dianggap tidak dapat dikutip dijangka meningkat sebanyak 5.6% pada 2025, sebelum naik kepada 7% pada 2026 bagi bank-bank yang berada di bawah liputan firma penyelidikan itu.

Firma penyelidikan itu berkata, ia merupakan satu daripada penurunan hutang lapuk yang berlaku sejak empat tahun lalu.

“Kami percaya tarif lebih tinggi yang dikenakan oleh AS ke atas eksport Malaysia boleh mengurangkan jumlah perniagaan dan pendapatan syarikat-syarikat Malaysia yang bergantung kepada pasaran AS, sekali gus melemahkan keupayaan mereka untuk membayar balik hutang dan menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan risiko kredit kepada bank-bank Malaysia,” katanya dalam satu nota kajian.

Presiden AS, Donald Trump telah mencadangkan tarif timbal balik minimum sebanyak 15% dan setinggi 50% menjelang tarikh akhir 1 Ogos ini dan pada awal bulan ini AS mengancam untuk mengenakan tarif import menyeluruh sebanyak 25% ke atas semua barangan dari Malaysia.

CGS International berkata, lonjakan 10% dalam pinjaman terjejas kasar bagi tahun 2026 akan mengurangkan jumlah keuntungan bersih bank-bank di bawah liputan sebanyak 3.2%, menurut ujian tekanan yang dijalankan mereka.

Katanya, Hong Leong Bank Bhd dijangka paling kurang terjejas dengan keuntungan bersihnya hanya menurun 1%, manakala Affin Bank Bhd dijangka paling teruk terkesan dengan potensi penurunan pendapatan sebanyak 10.9%.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan sebarang peningkatan ketara melebihi 10% dalam pinjaman terjejas kasar bagi 2025 dan 2026, disebabkan kawalan ketat bank-bank terhadap kualiti aset di bawah pengawasan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bank juga boleh mengambil langkah proaktif dengan menawarkan bantuan bayaran balik kepada peminjam yang terjejas, selain mempunyai lebihan pengurusan yang besar berjumlah RM4.36 bilion pada akhir bulan Mac, menurut firma itu lagi.

Sekiranya bank perlu membuat peruntukan bagi 50% daripada pinjaman terjejas kasar baharu, peruntukan tambahan itu mampu menampung sehingga 37.9% daripada peningkatan tersebut pada 2026, tambah CGS International.- DagangNews.com

featured standard