
KUALA LUMPUR - Kerugian dan hutang sehingga RM260,000 akibat hubungan dengan ‘love scam’ disyaki motif empat sekeluarga termasuk dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun maut di sebuah kondominium di Desa Parkcity, Pesiaran Residen, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek yang juga suami mangsa telah meninggalkan sekeping nota di atas meja makan yang menyatakan rasa kesal terhadap isterinya yang dikatakan mempunyai scammar cinta.
“Suspek dikatakan menanggung kerugian dan hutang sehingga RM260,000. Isterinya dikatakan masih cuba menghubungi scammer tersebut dan suspek merasakan perbuatan itu melampau serta berasa malu kepada anak-anaknya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, empat sekeluarga ditemui maut di sebuah unit kediaman di Desa ParkCity, Persiaran Residen di sini, dengan tiga mangsa ditemui di dalam unit berkenaan manakala mangsa keempat dipercayai meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan.
Menurut Fadil, polis menerima laporan pada jam 3.32 petang mengenai seorang lelaki berusia 48 tahun yang dipercayai terjatuh dari bangunan kediaman berkenaan.
“Kesemua mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 47 tahun, iaitu isteri kepada lelaki berkenaan, serta dua anak mereka, seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil memberitahu, sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan telah ditemui di dalam sebuah laci di bilik tidur utama.
Beliau turut memaklumkan, bedah siasatan ke atas mayat anak perempuan suspek yang berusia sembilan tahun dijalankan pada jam 9 pagi tadi dan selesai kira-kira 12 tengah hari.
“Satu liang tikaman di leher berukuran 5 cm ditemui d ibahagian leher si mati,’’ katanya.
Fadil memberitahu, bedah siasat kedua akan dijalankan ke atas mayat isteri suspek selepas Solat Jumaat dan dijangkakan hari ini hanya tiga bedah siasat sahaja dijalankan.
“Bedah siasat ke atas mayat suspek dijangka diadakan esok selepas pasukan forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengadakan lawatan ke tempat kejadian pagi esok,’’ katanya. - 28 Ogos, 2026
The post Hutang RM260,000 akibat ‘love scam’ punca kematian empat sekeluarga di Desa Parkcity appeared first on Scoop.






