Rasa malu dan tekanan akibat beban hutang mencecah RM260,000 selepas isterinya dipercayai terjerat dalam penipuan ‘love scam’ menjadi antara motif yang sedang disiasat polis berhubung tragedi membabitkan empat sekeluarga di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan menemukan sekeping nota yang dipercayai ditinggalkan oleh suspek, yang juga bapa kepada keluarga tersebut, di atas meja makan kediaman mereka.

Menurutnya, nota berkenaan menyatakan rasa kesal suspek terhadap isterinya yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang scammer sehingga menyebabkan kerugian dan hutang berjumlah RM260,000.
“Isteri dikatakan masih cuba menghubungi scammer berkenaan dan suspek merasakan perbuatan itu melampau dan berasa malu kepada anak-anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kematian empat beranak berkenaan mengejutkan penduduk sekitar selepas isteri suspek bersama dua anak mereka ditemui meninggal dunia di dalam unit kediaman, manakala suspek turut ditemukan maut.
Polis Temui Pisau Dan Sarung Tangan
Mengulas perkembangan bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Fadil memaklumkan prosedur terhadap anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia sembilan tahun telah selesai dijalankan pagi tadi.
“Bedah siasat selesai dijalankan hari ini pada jam 9 pagi ke atas mayat anak perempuan berusia sembilan tahun dan selesai lebih kurang jam 12 tengah hari. Satu liang tikaman di leher berukuran lima sentimeter ditemui di bahagian leher si mati,” katanya.
Menurutnya, proses bedah siasat terhadap isteri suspek turut dijalankan, manakala bedah siasat ke atas suspek dijangka dilakukan selepas pasukan forensik HKL menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian.
Dalam perkembangan sama, pasukan forensik turut menemukan beberapa bahan bukti yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.
“Sebilah pisau serta sepasang sarung tangan yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan ditemui di dalam laci di bilik tidur utama,” katanya.
Polis kini meneruskan siasatan terperinci termasuk daripada aspek forensik serta latar belakang keluarga berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.
Sementara itu, tinjauan di Unit Forensik HKL mendapati beberapa individu yang dipercayai ahli keluarga hadir sekitar jam 1 tengah hari, namun mereka enggan ditemu bual sebelum beredar dari lokasi. – HARIAN METRO
Selain itu kami kongsikan artikel trending yang lain di pautan di bawah.

Pelajar Sakit Jantung Ma*t Setelah Dipaksa Sertai Acara Sukan, Guru Terlibat Ditukar Sementara Tunggu Siasatan
The post Suami Sempat Tulis Surat Dedah Punca Kematian 4 Beranak Di Desa ParkCity, Hutang RM260K Akibat ‘Love Scam’ Motif Utama first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.





