Hyundai IONIQ 5 N Bakal Hadir Ke Pasaran Tempatan – EV Dengan Pengalaman ‘Menukar Gear’

TechnologyDigitalCars
6 Sep 2024 • 8:13 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dalam pelbagai kereta elektrik di pasaran tempatan, Hyundai menerusi Sime Darby antara jenama yang mempunyai pelbagai pilihan iaitu siri IONIQ dan Kona. Di acara Sime Darby Automania, Hyundai mempamerkan IONIQ terbaru mereka iaitu IONIQ 5 N.

image is not available

Hyundai IONIQ 5 N merupakan IONIQ 5 yang diberi sentuhan prestasi tertinggi menerusi label N. Ia mempunyai asas badan sama seperti IONIQ 5, namun dengan rekaan seiring prestasi seperti lubang pengudaraan, kewujudan bumbung lutcahaya, label N menghiasi segenap sudut, rekaan rim 21-inci yang turut menyerlahkan pencengkam brek berlabel N, stereng pemanduan yang turut memberikan butang-butang tambahan dan juga tempat duduk yang memberikan keselesaan sekiranya pemilik berhasrat untuk memandu kereta elektrik ini di trek perlumbaan.

image is not available

Apa yang membezakan IONIQ 5 N ini dengan EV yang lain adalah adanya tuil menukar gear di stereng (paddle shifters) yang bertindak sebagai ‘gear’.  Umum mengetahui kereta elektrik biasanya tidak mempunyai gear yang sama seperti kereta petrol, dan kelajuan bertambah secara terus, tanpa perlu sebarang penukaran gear. Malah tuil menukar gear yang terdapat di IONIQ 5 dan IONIQ 6 berfungsi untuk menukar tahap pembrekan janaan semula, dan bukan untuk menukar gear. 

image is not available

image is not available

Bagi memberikan pengalaman luar biasa, pemandu IONIQ 5 N boleh mengaktifkan N e-Shift untuk mengalami proses penukaran gear, malah jika pemandu memecut tanpa menukar gear, kereta ini akan memberikan bunyi dan paparan antaramuka yang sama seolah-olah pemandu tidak menukar gear, sekaligus memberikan pengalaman seumpama membawa kereta petrol. Bunyi yang dijana pula bukan sahaja bunyi didalam kabin pemanduan, malah bunyi tersebut dapat didengar di luar kereta dan pemandu boleh memilih sehingga 3 pilihan bunyi. 

image is not available

image is not available

Ia mempunyai dua motor elektrik yang boleh memberikan kuasa 650PS dan 770Nm tork apabila butang pecutan N Grin Boost ditekan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai sepantas 3.4 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 260 km/j. Malah pemandu juga boleh menetapkan tahap suspensi, tahap kawalan stereng, dan dengan fungsi-fungsi khas untuk siri N seperti menetapkan suhu bateri supaya sentiasa berada dalam keadaan yang sesuai untuk berlumba. 

Hyundai IONIQ 5 N ini mempunyai bateri berkapasiti 84kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 448 WLTP dan menyokong pengecasan DC setinggi 350 kW, membolehkan pengecasan 10-80% sepantas 18 minit. Ia  juga mempunyai pengecasan AC 11kW dan memberikan tempoh pengecasan 0-100% sekitar 8 jam 45 minit.  

image is not available

Buat masa ini tiada sebarang maklumat lanjut namun terdapat desas-desus menyatakan harga Hyundai IONIQ 5 ini mungkin dijual pada harga tidak melebihi RM 400,000. Hyundai Malaysia telahpun membuka laman daftar minat untuk kereta ini dan bagi anda yang berminat, boleh terus ke laman rasmi mereka, atau hadir ke acara Sime Darby Automania di Stadium Bukit Jalil pada hujung minggu ini. 

image is not available