Hampir setahun selepas Hyundai Malaysia memasuki pasaran Malaysia secara terus, akhirnya pada hari ini mereka mengumumkan kereta elektrik mereka untuk pasaran tempatan. Menariknya mereka memperkenalkan kereta elektrik berprestasi tinggi yang diletakkan dalam siri N mereka iaitu Hyundai Ioniq 5 N dan juga Hyundai Ioniq 6 N.

Hyundai Ioniq 5 N merupakan kereta elektrik hatchback yang mula diperkenalkan pada tahun 2024 dan sewaktu itu dijual oleh Hyundai Sime Motors. Hyundai Ioniq 6 N pula merupakan kereta elektrik sedan dengan bentuk yang lebih aerodinamik, membolehkan ia memecut 0-100km/j dalam tempoh 3.2 saat berbanding Ioniq 5 N yang memecut 0-100 km/j dalam sepantas 3.4 saat. Apa yang benar-benar membezakan Ioniq 5 N dan Ioniq 6 N selain dari bentuk dan kelasnya adalah bumbung yang boleh dibuka pada Ioniq 6 N.
Kedua-dua kereta elektrik berprestasi tinggi ini mempunyai spesifikasi bateri yang sama, iaitu berkapasiti 84 kWh yang memberikan jarak perjalanan sejauh 448 WLTP dan menyokong pengecasan DC setinggi 350 kW, membolehkan pengecasan 10-80% sepantas 18 minit. Ia juga mempunyai pengecasan AC 11kW dan memberikan tempoh pengecasan 0-100% sekitar 8 jam 45 minit.

Kedua-duanya juga mempunyai kuasa sehingga 650 PS apabila butang N Grin Boost diaktifkan, dengan kebolehan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.2-3.4 saat dan juga kelajuan tertinggi sekitar 260 km/j dan 257 km/j

Untuk kedua-dua model ini, ia mempunyai rekaan luaran dan dalaman penuh dengan label N bagi membezakannya dengan Ioniq 5 dan Ioniq 6 yang biasa. Rekaan rim yang lebih bergaya, jalur merah sebagai petanda menghiasi segenap sudut kereta ini. Dari segi fungsi juga, terdapatnya tuil menukar gear di stereng yang berfungsi seakan-akan gear. Ini berbeza dengan Ioniq biasa yang mempunyai tuil sebegini namun digunakan untuk mengubah tahap pembrekan janaan semula. Kesemua fungsi N dilihat adalah serupa.

Hyundai Ioniq 5 N kini dijual pada harga RM 443,888 manakala Hyundai Ioniq 6 N dijual pada harga RM 449,888. Ia datang dengan jaminan N Care+ selama 8 tahun atau 160,000 KM jarak perbatuan, turut merangkumi jaminan bateri. Pembeli juga akan menerima barangan N Lifestyle+ yang bernilai RM 2,000. Hadirnya dua model EV dari Hyundai ini memungkinkan permulaan untuk mereka menawarkan kereta elektrik bagi pasaran tempatan.




