
Hyundai Motor Malaysia (HMY) secara rasmi melancarkan dua model prestasi elektrik terbaharu, Hyundai IONIQ 5 N dan Hyundai IONIQ 6 N sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Pelancaran ini menandakan kemasukan rasmi subjenama prestasi Hyundai N ke pasaran Malaysia, sekaligus menawarkan pilihan baharu kepada peminat automotif yang mahukan gabungan prestasi tinggi dan teknologi elektrifikasi moden.
Menurut Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Jahabarnisa Haja Mohideen, kedua-dua model tersebut membuktikan bahawa kenderaan elektrik mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan tanpa mengorbankan aspek praktikaliti harian.
Hyundai IONIQ 5 N: SUV Elektrik Berprestasi Tinggi

Hyundai IONIQ 5 N dibangunkan berasaskan platform E-GMP dan dinobatkan sebagai World Performance Car 2024. Model ini menghasilkan kuasa maksimum 650PS bersama fungsi N Grin Boost serta tork sehingga 770Nm.
Prestasinya membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa hanya 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 260 km/j. Pada masa sama, ia masih menawarkan jarak pemanduan sehingga 448 kilometer mengikut kitaran WLTP.
Antara teknologi utama yang dibawakan termasuk N e-Shift yang mensimulasikan pertukaran gear seperti transmisi dwi-klac, N Active Sound+, N Launch Control, N Drift Optimizer dan N Torque Distribution.
Hyundai IONIQ 5 N ditawarkan pada harga RM443,888 dan hanya tersedia melalui tempahan khas (built-to-order).
Hyundai IONIQ 6 N: Sedan Elektrik Dengan Jiwa Supercar

Turut membuat kemunculan rasmi ialah Hyundai IONIQ 6 N yang dibangunkan daripada platform IONIQ 6 Streamliner. Model sedan prestasi ini turut menghasilkan kuasa maksimum 650PS dan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.2 saat.
Dengan pek bateri 84kWh, IONIQ 6 N menawarkan jarak pemanduan sehingga 487 kilometer mengikut standard WLTP, menjadikannya lebih jauh berbanding IONIQ 5 N.
Rekaan aerodinamik dengan pekali seretan serendah 0.27Cd, spoiler belakang jenis swan-neck serta sistem suspensi elektronik terkawal (ECS) membantu meningkatkan kestabilan dan pengendalian ketika dipandu secara agresif.
Model ini ditawarkan pada harga RM449,888 dan turut menggunakan konsep tempahan khas.
Dipamerkan Di KLIMS 2026
Orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N di reruai Hyundai sepanjang KLIMS 2026 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dari 12 hingga 21 Jun 2026.
Selain kedua-dua model N tersebut, Hyundai turut mempamerkan rangkaian model lain termasuk TUCSON, SANTA FE dan STARIA, di samping menawarkan sesi pandu uji serta pelbagai promosi eksklusif kepada pengunjung.
Kehadiran IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N memperlihatkan kesungguhan Hyundai untuk membawa pengalaman pemanduan elektrik berprestasi tinggi ke Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam segmen EV prestasi di negara ini.
The post Hyundai IONIQ 5 N Dan IONIQ 6 N Rasmi Dilancarkan Di Malaysia, Harga Bermula RM443,888 appeared first on TW Media.




