Seperti dijanjikan, Mediatek akhirnya melancarkan cip pertama mereka yang menyokong rangkaian 5G secara terbina. MediaTek Dimensity 1000 5G ialah cip yang bukan sahaja menyokong rangkaian selular generasi terkini tetapi turut dikatakan mengurangkan penggunaan bateri pada peranti mudah alih.

Sokongan memori adalah sehingga 16GB LPDDR4X dan skrin sehingga QHD+ 90Hz. Kamera utama tunggal sehingga 80 Megapixel atau kombinasi 32+16 Megapixel disokong. Rakaman video pula boleh dilakukan sehingga resolusi 4K 60FPS lengkap dengan HDR.
Menurut MediaTek, menerusi Dimensity 1000 peranti boleh menikmati kelajuan muat turun sehingga 4.6 Gbps dan muat naik pula sehingga 2.5 Gbps. Dua SIM 5G boleh disokong secara serentak asal ia menggunakan frekuensi di bawah 6 GHz. Selain itu rangkaian WiFi 6 dan Bluetooth 5.1 juga disokong secara terbina meletakkannya setanding dengan cip mercu keluaran Qualcomm dan Samsung.
MediaTek berkata peranti pintar pertama yang menggunakan Dimensity 1000 akan mula dikeluarkan menjelang penghujung 2019. Pengeluar pertama menggunakan cip ini masih belum diumumkan pada waktu ini.
