MELAKA - Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM) yang dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Umi Kem Terendak memberi manfaat kepada 10 kanak-kanak autisme menjalani terapi selama setahun.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, program IA-ATM merupakan inisiatif baharu Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan National Autism Society of Malaysia (NASOM).
Menurutnya, program itu turut dibiayai oleh Lembaga Tabung Haji sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.
“IA-ATM memfokuskan kepada kanak-kanak autisme dalam kalangan anak-anak Warga Kerja Pertahanan (WKP) berusia tiga hingga 15 tahun, khususnya yang berada di kem-kem ATM.
“Antara objektif utama ialah mendapatkan input berkaitan keperluan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak autisme daripada ibu bapa serta guru, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sosial kepada golongan ini,” katanya pada Majlis Peluncuran Program IA-ATM di PPDK Umi Kem Terendak di sini pada Rabu.
Turut hadir ialah Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), Mejar Jeneral Sani S Omar; Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM (AKSPA), Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin; Pengarah Wilayah Selatan TH, Rozimin Ahmed Kamil dan Pengerusi NASOM, Julian Wong.
**media[3486114]**
Katanya, program itu turut membuka ruang kerjasama antara MINDEF dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyediakan kemudahan, bimbingan dan bantuan diperlukan.
Katanya, IA-ATM telah dilaksanakan di PPDK Lautan Kasih, Pangkalan TLDM Lumut, Perak bermula 14 Julai 2025 hingga 7 Mei 2026, manakala di PPDK Umi Kem Terendak, Melaka pula bermula 4 Ogos 2025 hingga 4 Jun 2026.
“Seramai 20 kanak-kanak autisme mengikuti sesi pelajaran-terapi yang merangkumi 12 modul baharu, direka khusus oleh pihak NASOM bagi menyokong perkembangan mereka.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu kanak-kanak berkeperluan khas mengembangkan potensi diri, malah memberi peluang kepada tenaga pengajar meneroka kaedah pembelajaran yang lebih bersesuaian dengan keperluan individu,” katanya.
Pada masa sama, usaha berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara ATM dengan agensi awam serta pihak swasta melalui pendekatan Civil Military Cooperation (CIMIC).

