LUMUT - Kementerian Pertahanan (MINDEF) terus memperkukuh agenda kebajikan Warga Kerja Pertahanan (WKP) menerusi pelancaran Program Ikhtiar Autisme Angkatan Tentera Malaysia (IA-ATM).
Program berkenaan merupakan inisiatif baharu MINDEF dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) dengan pembiayaan disumbangkan Lembaga Tabung Haji.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, sebagai permulaan, IA-ATM dilaksanakan di dua lokasi iaitu PPDK Lautan Kasih Pangkalan TLDM Lumut dan PPDK Umi Kem Terendak, Melaka melibatkan seramai 20 kanak-kanak.
"Program ini memberi tumpuan kepada kanak-kanak autisme berusia antara tiga hingga 15 tahun dalam kalangan anak Warga Kerja Pertahanan.
"Mereka menjalani 12 modul terapi yang dibangunkan khusus oleh NASOM sepanjang tempoh 12 bulan.
"Setakat ini program berkenaan telah memasuki bulan kelapan pelaksanaan dan menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan peserta," katanya selepas meramsikan Peluncuran Program IA-ATM PPDK Lautan Kasih Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini pada Selasa.
**media[3484950]**
Hadir sama, Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor; Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (Takspa) ATM, Brigedier Jeneral Mohd Sam Mohd Yusof dan Komander Pengkalan Lumut, Laksamana Pertama Jamaludin Sairi.
Turut hadir, Ketua Syariah Kumpulan Tabung Haji, Imran Mohamad Khayat dan Penaung NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin.
Modul terapi yang dibangunkan khusus oleh NASOM itu melibatkan kos pembiayaan sebanyak RM2,200 bagi setiap peserta dengan pelaksanaan di kedua-dua PPDK itu melibatkan kos keseluruhan RM528,000.
Mengulas lanjut, Adly berkata, hasil interaksi bersama ibu bapa mendapati, terdapat peningkatan ketara dari segi perkembangan keupayaan anak-anak yang mengikuti terapi tersebut.
“Perkembangan ini memerlukan masa kerana keberkesanan terapi akan lebih jelas apabila usia kanak-kanak meningkat, namun kita melihat hasil awal yang amat memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa ketika ini terdapat kira-kira 55 kanak-kanak dikenal pasti dalam komuniti berkenaan, namun hanya 20 dipilih bagi fasa awal program.
Katanya, pemilihan dibuat secara teliti oleh pihak NASOM dan PPDK bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan sebelum diperluaskan pada masa hadapan.
Menurut Adly, untuk jangka masa panjang, MINDEF merancang memperkukuh kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperluas sokongan.

