Ibu, anak autisme duduki SPM bersama-sama

LocalFamily & Parenting
23 Nov 2026 • 1:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Ibu, anak autisme duduki SPM bersama-sama

KOTA BHARU: Seorang pembantu pergigian sebuah Klinik Pergigian di sini, memasuki dewan bersama-sama dengan anaknya bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Bharu, hari ini.

Mazlina Abdul Majid, 44, berkata, keputusannya untuk menduduki peperiksaan pada tahun ini diputuskan pada Mac lalu bagi membolehkannya dinaikkan ke gred lebih tinggi selain dapat menemani anak lelakinya, Muhammad Adam Daniel Othman, 17, yang menghidapi autisme.

“Saya sebenarnya hendak memberi dorongan dan sokongan kepada anak sulung daripada empat beradik itu, supaya dapat bersaing dalam pelajaran dan bersama-sama bersemangat mengharungi cabaran.

“Jadi saya sendiri ambil peluang ini dan pada masa sama untuk mendapat gred ke peringkat lebih tinggi dalam pekerjaan. Lagi pun saya dahulu hanya memohon pekerjaan dengan menggunakan keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Saya bersama anak amat berharap mendapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jelas Mazlina, walaupun sudah lebih 20 tahun bekerja, dia hanya dapat meluangkan masa belajar dan mengulang kaji menerusi Youtube, disamping mendapat bimbingan guru sekolah tersebut.

“Selain itu, saya ada masa selama enam bulan sahaja dapat memberikan tumpuan kepada enam subjek teras. Namun tak dinafikan merasa gementar kerana banyak silibus mata pelajaran baharu berbanding dahulu.

“Tetapi, saya bersyukur dan berbangga sangat kerana dapat bersama Muhammad Adam Daniel untuk menduduki peperiksaan SPM hari ini dan Insya-Allah semoga mendapat keputusan yang baik,” ujarnya.

Muhammad Adam Daniel pula merasa bertuah apabila ibunya sanggup berkorban dengan memberi sokongan dalam peperiksaan SPM hari ini.

“Saya juga belajar bersama emak sebelum menduduki peperiksaan SPM dan bersyukur kerana ada insan yang sanggup berbuat sebegini. Kami berharap berjaya dalam peperiksaan ini dan saya pula bercita-cita menjadi seorang guru,” katanya. – UTUSAN

The post Ibu, anak autisme duduki SPM bersama-sama appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved