Ibu Anak Menangis Dilepas Dan Dibebaskan Daripada Tuduhan Mengedar Dadah

29 Jun 2023 • 7:07 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan Sharon Farnell, 52, dan anak perempuannya, Theresa Kennedy, 26, daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan - Gambar Hiasan

MELAKA - Seorang ibu dan anak menangis sambil berpelukan dalam kandang tertuduh selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah jenis ganja, empat tahun lepas.

Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid melepas dan membebaskan Sharon Farnell, 52, dan anak perempuannya, Theresa Kennedy, 26, daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie, justeru tertuduh pertama dan kedua dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Mohd Radzi berkata mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh tidak mempunyai kawalan dan pengetahuan mengenai dadah di premis perniagaan mereka.

“Pendakwaan juga tidak dapat membuktikan elemen milikan dadah terhadap kedua-dua tertuduh selain kemungkinan ada orang yang mempunyai akses kepada kedai tersebut tidak boleh diketepikan,” katanya.

Sharon dan Theresa didakwa atas pertuduhan mengedar dadah  jenis ganja seberat 280.7 gram di sebuah premis di Jalan Laksamana Melaka, dalam Daerah Melaka Tengah pada  4 petang, 24 April 2019.

Kedua beranak itu dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebat minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Lapan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang  bermula 18 September 2019. - Bernama