Ibu Anggap Kehilangan Hud Aryan Begitu Misteri, Penduduk Kampung Sanggup Ambil Cuti Sertai Misi Pencarian [Video]

26 Feb 2025 • 4:39 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


[Kemaskini] Hud Aryan Ditemukan Meninggal Dunia

Selepas 45 jam dilaporkan hilang, Hud Aryan akhirnya ditemukan sudah meninggal dunia.

Memetik Harian Metro, jurucakap bomba mengesahkan perkara itu namun setakat ini belum ada maklumat lanjut mengenainya.


Semalam (25 Februari), kecoh di media sosial mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang dikenali sebagai Hud Aryan Mohd Nor Hafifi.

Hud yang merupakan anak tunggal dilaporkan hilang di rumah neneknya yang terletak di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan kira-kira jam 7.20 malam Isnin (24 Februari) lalu.

Sebelum insiden berkenaan, si cilik itu berada di dalam rumah dan sedang diberi makan oleh ibunya sebelum wanita berkenaan masuk ke dapur sebaik selesai menyuap Hud.

Walau bagaimanapun, hanya dalam beberapa minit, Hud didapati hilang dan ia hanya disedari selepas seorang saudara datang ke rumah yang bertanyakan keberadaan kanak-kanak berkenaan.

Namun sehingga ke hari ini, kanak-kanak lelaki itu masih belum ditemui malah operasi pencarian diteruskan.

Keluarga Anggap Kehilangan Hud Aryan Penuh Misteri

Terbaharu, ibu kanak-kanak berkenaan, Azean Nur Atikah Ramley menganggap kejadian yang menimpa anaknya begitu misteri.

Ini kerana hanya dalam tempoh dua hingga tiga minit ketika dia masuk ke dapur, kanak-kanak itu disedari hilang.

“Tidak logik Hud Aryan yang baru berusia 19 bulan boleh sampai ke kawasan anak sungai atau masuk ke dalam hutan di tepi serta belakang rumah,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Malah, dia terus memaklumkan insiden berkenaan kepada kakaknya yang tinggal berhadapan rumah ibu mereka sebelum keluar mencari Hud Aryan.

“Keadaan cuaca ketika itu hujan renyai-renyai. Memang depan rumah ibu saya ada anak sungai persendirian milik keluarga kami, terletak jarak kira-kira 15 meter.

“Bagaimanapun, laluan rumah untuk sampai ke anak sungai itu berbukit. Andai dia (Hud Aryan) keluar dari rumah, mesti dia terjatuh sebelum sampai ke anak sungai memandangkan laluan berbukit.

“Malah, rumah adik saya di tepi sungai dan pintu rumah dalam keadaan terbuka ketika itu. Adik saya tidak mendengar pun suara Hud Aryan,” jelasnya lagi.

Ada Ustaz Dakwa Hud Aryan ‘Disembunyikan’ Makhluk Halus

Malah, bahagian hadapan dan tepi rumah ibunya merupakan hutan tebal serta berbukit dan agak mustahil untuk anaknya itu masuk ke hutan sendirian.

“Sungguh misteri kehilangan anak saya kerana hanya beberapa minit sudah hilang jejak. Namun, ramai ustaz atau pengamal perubatan Islam menyatakan anak saya ‘disembunyikan’ makhluk halus menyebabkannya gagal dikesan hingga kini.

“Saya tiada musuh, dan kehilangan anak saya juga adalah tragedi pertama di kampung ini. Anak saya memang suka air dan seorang yang aktif tetapi tidak pernah mandi sendirian di kawasan berkenaan,” katanya.

Jelas Azean, dia sebenarnya tinggal di Kampung Bechah Laut namun akan datang ke rumah ibunya setiap dua hari bagi menemani warga emas itu yang tinggal sendirian.

Kejadian Kali Pertama Berlaku, Penduduk Tinggalkan Kerja Semata-Mata Nak Sertai Misi Pencarian

Dalam pada itu, ramai penduduk kampung yang sanggup mengambil cuti semata-mata mahu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ini kerana mereka menyifatkan kejadian sebegitu amat mengejutkan dan merupakan kali pertama berlaku di kampung tersebut.

Menurut seorang penduduk yang bekerja sebagai Tukang Rumah, Ahmad Ikhwan Mohd Rozi, dia datang ke lokasi bagi menyertai misi pencarian kanak-kanak yang dilaporkan hilang sejak kelmarin.

“Saya sanggup tidak pergi bekerja sehingga hari ini. Bahkan bukan saya sahaja, bos (majikan) saya sendiri turut hadir menyertai misi pencarian.

“Selain saya ramai penduduk kampung yang lain meninggalkan kerja masing-masing kerana mahu mencari Hud Aryan dan kejadian seperti ini sangat mengejutkan kami semua.

“Sejak malam kelmarin saya sendiri hanya tidur satu atau dua jam sahaja sehari kerana berada di lokasi. Sebagai contoh semalam pun saya bersama penduduk yang lain mencari di kawasan hutan sehingga 3 pagi,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Malah, seorang penduduk yang dikenali sebagai Shahdam Sukiri dan bekerja sebagai Jurukimpal mendedahkan dia juga turut mengambil cuti bagi membantu pasukan keselamatan dalam operasi SAR.

“Saya memang tidak boleh bekerja kerana mahu bersama-sama penduduk yang lain mencari Hud Aryan. Kejadian ini memang menyedihkan kami semua dan berharap Hud Aryan segera ditemukan,” katanya.

Video operasi pencarian Hud turut tular di media sosial.

@nrhaniy11

misi mencari adik hud aryan . anjing k9 pun dah sampai . semoga dipermudahkan segala urusan pencarian adik hud aryan 😭

♬ original sound – Nst💎Sitiws🇮🇩 – 💎ѕιтιƒяєzα🇮🇩

@mustaqimaziz997

KAU PERLIHATLAH YANG TIDAK DILIHAT YA ALLAH Pencarian adik Hud Aryan kg Aira Kuala Tiga Gual Ipoh Tanah Merah hari kedua masih diteruskan berbahagi kepada 2 team. 1 bot bersama #BOMBA tertumpu kepada muara sungai . 2 bersama anjing pengesan #PDRM . Terima kasih kepda penduduk kampung yang memberi kerjasama tidak lupa kepada #RELA #angkatanpertahananawammalaysia

♬ original sound – Mustaqim Aziz🧑‍🏭 – Mustaqim Aziz🧑‍🏭

@transport.motor.murah

Operasi Mencari ( Hud Aryan ) 1-Tahun 6-Bulan Hilang Waktu Maghrib ‘ Ghai ‘ Selepas Ibu Selesai Suap Makan 24.2.2024 7.30pm

♬ Sad Music – Max-Music

Kehilangan Hud Aryan Tiada Unsur Jenayah

Terdahulu, pihak polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian kehilangan Hud Aryan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah, setakat ini polis mengkalsifikasikan insiden tersebut sebagai orang hilang.

Jelasnya, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang panggilan dari mana-mana pihak berhubung kehilangan kanak-kanak tersebut.

“Setakat ini kes ini tiada petunjuk unsur jenayah atau tanda mengatakan terbabit dengan jenayah sebaliknya orang hilang semata-mata.

“Justeru saya mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak sepatutnya dan boleh mengaibkan keluarga.

“Setakat ini operasi hari ketiga masih diteruskan dan saya berharap operasi kami dipermudahkan dan kanak-kanak itu ditemui,” katanya.

Malah, operasi SAR yang telah masuk pada hari ketiga juga akan menggunakan dua anjing pengesan dari unit K9.

Source: