RANAU - Perceraian ibu bapa serta desakan hidup yang memaksa pelajar bekerja bagi menyara keluarga dikenal pasti antara punca ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sabah.
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mendedahkan, sebanyak 13 faktor dikenal pasti menyumbang kepada isu berkenaan, dengan sebahagiannya masih boleh ditangani melalui intervensi sekolah.
Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin berkata, faktor berkaitan sikap pelajar antara yang boleh diperbaiki menerusi program pembangunan sahsiah.
"Pihak kami memberi tumpuan kepada faktor berkaitan sikap melalui program sentuhan sahsiah.
“Namun, cabaran lebih besar timbul apabila murid terpaksa bekerja bagi menyara kehidupan atau terkesan akibat perceraian ibu bapa, sehingga anak berusia 17 tahun terpaksa memikul tanggungjawab besar membantu keluarga,” katanya ketika sidang akhbar pengumuman SPM 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Mohamad Ali di sini pada Selasa.
Selain itu, katanya, terdapat juga pelajar yang tidak hadir kerana sudah berumah tangga pada usia muda, sama ada atas pilihan keluarga atau faktor kemiskinan.
"Apabila sudah berkahwin, fokus mereka beralih kepada keluarga dan anak, tetapi itu sebenarnya bukan penghalang untuk mengambil SPM.
"Kita terus beri dorongan kerana pendidikan penting dalam usaha mengurangkan kemiskinan, selaras aspirasi Sabah Maju Jaya," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengaruh rakan sebaya turut menjadi antara faktor pelajar tercicir, namun masih boleh diatasi jika mereka dapat dikesan lebih awal.
Mengulas lanjut, Raisin berkata, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jumlah ketidakhadiran calon SPM daripada tiga digit kepada dua digit bermula tahun depan.
Sementara itu, dalam ucapannya, Raisin mendedahkan seramai 699 atau 1.89 peratus pelajar tidak hadir mengambil peperiksaan SPM bagi semua mata pelajaran berbanding seramai 905 atau 2.57 peratus pelajar pada tahun 2024.
"Angka ini menunjukkan perkembangan yang positif iaitu penurunan bilangan calon yang tidak hadir seramai 206 orang," katanya.
Dalam pada itu, seramai 34,737 atau 95.60 peratus pelajar di Sabah, layak dianugerahkan sijil bagi peperiksaan SPM bagi tahun 2025.
Raisin berkata, jumlah itu meningkat bagi tahun 2025 berbanding seramai 32,501 orang atau 94.68 peratus bagi SPM tahun 2024.
"Angka ini menunjukkan peningkatan seramai 2,236 orang atau 0.92 peratus.



