
GUA MUSANG – Ibu bapa digalakkan membawa anak yang menunjukkan kelewatan perkembangan atau berdepan masalah pembelajaran untuk menjalani saringan awal bagi memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, saringan awal penting bagi mengesan masalah seperti autistik, gangguan spektrum autisme termasuk gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) pada peringkat awal.
Katanya, program saringan berkenaan dilaksanakan bersama pakar termasuk ahli psikologi dan terapi bagi menilai perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
“Kita hadir ke sekolah untuk melihat persiapan intervensi yang KPM lakukan bagi mengesan lebih awal anak-anak yang berhadapan dengan masalah pembelajaran seperti autistik, spektrum, ADHD dan sebagainya dapat dikesan melalui program saringan.
“Kita memang sangat menggalakkan ibu bapa yang dalam bahasa mudahnya ‘rasa tak sedap hati’ apabila melihat perkembangan anak mereka mungkin sedikit lambat atau berhadapan masalah pembelajaran untuk datang ke KPM bagi mendapatkan pengesanan,” katanya selepas Program Tindak Susul Parlimen Siri 3 di Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang di sini hari ini.
Fadhlina memberitahu, khidmat saringan berkenaan disediakan secara percuma oleh kerajaan kepada ibu bapa yang merasakan perkembangan anak mereka sedikit lambat atau menghadapi kesukaran dalam pembelajaran. – KOSMO! ONLINE
The post Ibu bapa digalak jalani saringan awal anak hadapi masalah pembelajaran appeared first on Kosmo Online.



