Ibu Bapa Diminta Jangan Tolak Tawaran MRSM Kerana Kekangan Kewangan

LocalFamily & Parenting
27 Dec 2025 • 8:54 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang menerima tawaran kemasukan anak ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) diminta agar tidak menolak peluang tersebut hanya disebabkan kesempitan hidup.

Sebaliknya, mereka digalakkan untuk memohon bantuan yang telah disediakan bagi memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada peluang pendidikan terbaik.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, beliau telah mengarahkan pihak pengurusan MARA serta MRSM supaya memberi bantuan sewajarnya kepada pelajar daripada keluarga susah, termasuk melalui Bantuan Khas BUDI MARA.

Kes Keluarga Di Pasir Mas Jadi Perhatian

Menurutnya, antara kes terbaharu yang mendapat perhatian melibatkan sebuah keluarga di Pasir Mas, Kelantan yang hampir menolak tawaran ke MRSM Jeli kerana bimbang tidak mampu menanggung kos persiapan dan perbelanjaan persekolahan.

“Ayah tidak lagi bekerja selepas kemalangan manakala ibu hanya suri rumah di sebuah kampung pedalaman. Adik-beradik 4 orang. Baru dapat makluman tawaran ke MRSM Jeli. Namun dek memikirkan kos-kos perbelanjaan untuk ke MRSM dan sepanjang belajar di sana, mereka berkira-kira untuk menolak tawaran ini,” katanya.

Susulan itu, Asyraf Wajdi berkata beliau segera menghubungi Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hariri bagi membantu menampung perbelanjaan awal pelajar berkenaan.

“Saya terus telefon sahabat saya Datuk Hariri Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas untuk bantu perbelanjaan awal. Selebihnya insyaAllah saya dan MARA akan bantu,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa penubuhan sekolah berasrama penuh sejak awal bertujuan membantu pelajar miskin tetapi cemerlang agar peluang pendidikan mereka tidak terjejas disebabkan kekangan kewangan.

“Asal tujuan sekolah asrama penuh diwujudkan adalah untuk menempatkan pelajar miskin yang cemerlang akademik supaya pelajaran mereka tidak terganggu oleh kemiskinan keluarga. Semua perbelanjaan ditanggung kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui bahawa matlamat asal institusi berkenaan kini mungkin dilihat seolah-olah telah berubah, namun menegaskan komitmen MARA untuk terus membantu pelajar yang benar-benar memerlukan. – The Malaysian Update

The post Ibu Bapa Diminta Jangan Tolak Tawaran MRSM Kerana Kekangan Kewangan appeared first on The Malaysian Update.