
YouTube mengumumkan beberapa kemas kini baharu bagi memastikan pengalaman tontonan lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga. Langkah ini sejajar dengan komitmen syarikat dalam melindungi penonton muda melalui perlindungan khusus yang telah disediakan.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan ialah kawalan tambahan yang membolehkan ibu bapa menetapkan had masa tontonan Shorts untuk anak-anak termasuk pilihan menetapkan kepada sifar. Akaun remaja yang diselia turut boleh menerima peringatan waktu tidur (Bedtime) dan rehat (Take a Break) yang disesuaikan.

Selain daripada itu, YouTube turut memperkenalkan panduan kandungan berkualiti untuk remaja yang dibangunkan bersama Jawatankuasa Penasihat Belia YouTube, UCLA serta pakar global seperti Persatuan Psikologi Amerika dan Digital Wellness Lab. Panduan ini dibuat bertujuan untuk membantu pengguna menghasilkan bahan yang menyeronokkan, sesuai dengan umur dan bermanfaat.

Pengalaman akaun turut dipertingkatkan dengan kemudahan untuk ibu bapa mencipta akaun baharu bagi anak serta menukar antara akaun dengan mudah melalui aplikasi mudah alih. Langkah ini memastikan setiap ahli keluarga menikmati tontonan yang sesuai dengan umur. Menurut YouTube, syarikat itu akan terus berusaha memastikan platform kekal selamat dan pada masa yang sama menjadi sumber inspirasi kepada generasi akan datang.



