PENDANG - Seorang ibu yang sedang dalam tempoh berpantang berdepan detik cemas apabila rumah di Kampung Paya Mak Insun di sini dilanda ribut pada Isnin.
Fatin Nadirah Ghazali, 32, berkata, kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu membuatnya tergamam sekali gus memeluk erat bayi, Nur Ammara Aisy berusia 40 hari kerana bimbang keselamatannya.
Menurutnya, ketika itu, dia bersama seorang lagi anak, Muhammad Amzar Rizqi Muhammad Azizi, 4, dan ibu mentua, Fatimah Yaacob, 68, sedang berehat di dalam rumah.
“Sebelum kejadian, saya dan bayi berada dekat pintu kerana menunggu suami pulang dari kerja sebelum bergegas masuk ke ruang tamu apabila melihat awan gelap seperti hendak hujan.
“Sebaik sahaja saya bersama dua anak dan ibu mentua duduk di ruang tamu, saya nampak dari tingkap pusaran angin menuju ke arah rumah sebelum menumbangkan pokok rambutan,” katanya.
Jelasnya, secara tiba-tiba, pusaran angin turut mengangkat bumbung rumah sebelum terhempas di lantai bilik dan ruang belakang.
“Saya menggeletar dan hanya memikirkan keselamatan anak-anak. Saya membaca doa dan surah sambil memeluk erat bayi yang menangis kerana terkejut, manakala ibu mentua memeluk anak sulung.
“Kami terperangkap di ruang tamu kerana pintu rumah tidak dapat dibuka akibat dihalang pokok tumbang, manakala pintu belakang pula dipenuhi runtuhan bumbung,” jelasnya.
Menurut Fatin, dia bersyukur apabila tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya menunggu sehingga suami pulang.
“Dalam keadaan cemas dan risau, kami berempat hanya duduk di atas katil di ruang tamu sehingga suami pulang,” jelasnya.
**media[3504983]**
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) RTP Bukit Mak Insun, Suhardi Hashim berkata, rumahnya antara yang paling teruk terjejas apabila hampir keseluruhan bumbung diterbangkan angin.
“Saya nampak pusaran angin mengangkat bumbung rumah sebelum meranapkan kontena yang dijadikan stor. Ini kejadian ribut paling teruk pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
Beliau menganggarkan kerugian akibat kerosakan bumbung kira-kira RM25,000.
Dalam kejadian ribut itu, sebanyak 89 rumah serta enam buah sekolah di Pendang terjejas dengan Sekolah Kebangsaan Haji Mohamad Ariff dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibenarkan menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga Khamis berikutan kerosakan teruk yang dialami.




