Ibu, dua anak maut kereta terbabas

23 Mar 2026 • 11:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang wanita dan dua anak maut selepas Perodua Aruz dinaiki mereka terbabas di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau.

DUNGUN - Seorang wanita dan dua anak maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Aruz dinaiki mereka terbabas di Kilometer 59 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau dekat sini, petang tadi.

Kejadian difahamkan berlaku kira-kira 6.10 petang dan dua daripada mereka maut di tempat kejadian manakala seorang lagi di Klinik Kesihatan Jerangau, namun setakat ini identiti semua mangsa belum dikenal pasti.

Kemalangan juga melibatkan dua lagi anak mangsa dan mereka dikejarkan ke Hospital Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian dan berkata, maklumat lanjut akan menyusul.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Al-Muktafi Billah Shah Mohd Izzuddin Mahmood berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kenderaan itu melanggar tiang elektrik di bahu jalan.

"Kemalangan melibatkan lima mangsa dengan tiga daripadanya dikeluarkan bomba yang menggunakan peralatan khas manakala dua lagi oleh orang awam,” katanya semasa dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut. - Bernama