Ibu kandung didakwa esok kes campak bayi dari tingkat 10

LocalFamily & Parenting
2 Jun 2026 • 10:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ibu kandung didakwa esok kes campak bayi dari tingkat 10
Chuan Huat (gambar kecil) memaklumkan, siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut telah dicampakkan dari tingkat 10 flat berkenaan. Foto hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai mencampakkan bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah flat di bandar ini sehingga menyebabkan kematian bayi berkenaan, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek yang juga ibu kandung kepada bayi tersebut ditahan pada jam 12 tengah hari Selasa di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Menurut beliau, penahanan dibuat hasil siasatan lanjut yang dijalankan polis berhubung penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan di kawasan parkir kenderaan sebuah flat di sekitar Johor Bahru pada 2 Mei lalu.

“Siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut telah dicampakkan dari tingkat 10 flat berkenaan.

“Berdasarkan keterangan dan bukti yang diperoleh, polis menahan suspek yang dipercayai telah membuang bayi yang masih bernyawa sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Menurutnya, beberapa saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan kertas siasatan kemudiannya dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor.

“Hasil arahan pendakwaan, suspek akan dituduh di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan,” katanya.

Chuan Huat turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan.

Katanya, orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak bertindak mengikut emosi sehingga boleh menjurus kepada perlakuan jenayah.