JOHOR BAHRU – Polis Johor sudah menahan tujuh lelaki warga asing bagi membantu siasatan seorang juruteknik ditemukan maut dipercayai dibunuh di dalam sebuah rumah pangsapuri di bandar raya ini pada 13 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kesemua suspek berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan sekitar Masai dan Mersing pada 19 Mei lalu.
"Tangkapan dibuat hasil risikan dan tindakan susulan polis selepas menemukan kereta Myvi milik mangsa di sekitar Masai.
"Semua suspek direman sehingga 26 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Jumaat.
Chuan Huat berkata, terdapat tikaman pada tubuh mangsa namun enggan mendedahkan perkara itu lebih lanjut kerana masih dalam siasatan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan dibuat dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, polis turut menahan enam lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki tempatan ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah di hadapan sebuah kedai makanan dan minuman di Pekan Nanas, Pontian awal pagi Khamis.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan bermula tengah malam hingga awal pagi Jumaat di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru hasil operasi khas yang dijalankan.
"Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
