
GANGZHOU: Pengalaman seorang ibu membawa anak mendapatkan rawatan di sebuah klinik kerajaan di Guangzhou, China, menarik perhatian pengguna Threads selepas berkongsi kos rawatan yang disifatkannya sangat murah.
Menerusi hantaran akaun @qudeen_kids, wanita itu berkata anaknya mengalami batuk dan selesema selepas tidak memakai pakaian tebal ketika cuaca sejuk.
Dia kemudian membawa anaknya ke sebuah klinik berhampiran kawasan Xiaobei, Guangzhou, untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Menurutnya, kos keseluruhan bagi ubat batuk, selesema serta rawatan menggunakan nebulizer hanya sekitar 80 yuan.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa mereka mempunyai insurans perjalanan Etiqa dan pada awalnya bercadang membuat tuntutan, namun memilih untuk tidak berbuat demikian kerana jumlah bayaran yang rendah.
Lebih menggembirakan, keadaan anaknya dilaporkan bertambah baik pada keesokan hari.
Boleh Pilih Perubatan Moden Atau Tradisional
Satu perkara yang menarik perhatiannya ialah pilihan rawatan yang disediakan di klinik berkenaan, apabila pesakit boleh memilih sama ada mendapatkan rawatan perubatan moden atau perubatan tradisional Cina.
Wanita itu berkata dia memilih rawatan moden dan diberikan ubat dalam bentuk cecair, selain menjalani proses pemeriksaan termasuk menimbang berat badan.
Menurutnya, proses tersebut juga berjalan dengan pantas dan tidak memerlukan mereka menunggu terlalu lama.
Perkongsian itu turut mendapat respons daripada beberapa pengguna Threads yang pernah mendapatkan rawatan di hospital kerajaan sekitar Guangzhou.
Ada yang berkongsi pengalaman membawa anak ke hospital awam di bandar berkenaan dengan kos rawatan yang rendah, termasuk seorang pengguna yang mendakwa hanya dikenakan bayaran sekitar RM18 ketika membawa anaknya ke unit kecemasan sebuah hospital kanak-kanak.
Netizen Bandingkan Dengan Pengalaman Di Malaysia
Ruangan komen turut menyaksikan perbincangan mengenai pilihan perubatan tradisional dan moden, khususnya dari segi penerimaan masyarakat.
Ada pengguna berpendapat kedua-dua pendekatan mempunyai tempat masing-masing dan pesakit sepatutnya bebas memilih rawatan yang dipercayai serta sesuai dengan keperluan mereka.
Seorang pengguna yang menetap di Guangzhou turut berkongsi bahawa penduduk di sana boleh mendapatkan rawatan perubatan Barat atau perubatan tradisional Cina tanpa terlalu mengambil kira pilihan orang lain.
Bagaimanapun, kos sekitar 80 yuan itu merupakan pengalaman individu berkenaan dan tidak semestinya mewakili kadar rawatan di semua klinik atau hospital di Guangzhou. – The Malaysian Update
The post Ibu Kongsi Pengalaman Bawa Anak Ke Klinik Kerajaan Di Guangzhou, Rawatan Batuk Dan Selesema Hanya 80 Yuan appeared first on The Malaysian Update.


