
SHAH ALAM: Ibu kepada mangsa seorang pelajar perempuan yang maut ditikam dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama Damansara 4, Petaling Jaya pada tahun lalu akan terus mencari keadilan untuk anaknya itu.
Wong Lee Ping menerusi hantaran dalam akaun Facebooknya berkata, dia akan berbuat demikian selepas mendengar keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pelajar lelaki terbabit yang dibebaskan daripada pertuduhan membunuh anaknya Yap Shing Xuen.
“Maaf anakku, kita akan terus mencari keadilan untuk kamu,” katanya di sini, hari ini.
Malah, dalam hantarannya sebelum itu, dia turut meluahkan kekesalan terhadap kejadian yang berlaku dan mendakwa kehilangan itu sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya sebagai seorang ibu tunggal.
“Saya seorang ibu tunggal, perkahwinan saya dan suami sampai ke penghujungnya tidak lama selepas anak perempuan saya lahir. Ketika itu saya rasa kosong dan tidak berdaya, tak tahu bagaimana seorang wanita akan menanggung keluarganya sendirian.
“14 Oktober 2025 (pula), merupakan detik paling gelap dan paling sukar untuk diterima dalam hidup saya. Pada hari itu saya menerima berita kematian anak saya. Seorang anak yang penyayang, prihatin dan rajin, kenapa terlalu kejam dia?” luahnya.
Malah, Lee Ping memberitahu, jika diberi peluang lagi dia mahu memeluk Shing Xuen dengan erat selain akan memberikan segala-galanya dan takkan akan dikesalinya seumur hidup.
“Menjadi ibu kepadanya adalah detik paling indah dan membanggakan dalam hidup. Walaupun kini sudah tiada, dia adalah harta paling berharga yang pernah dimiliki,” ujarnya.
Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa itu, Nur Izni Syazwani Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan berhubung dengan Timbalan Pendakwa Raya bagi mengenal pasti tindakan susulan yang boleh dilakukan.
“Namun ketika ini, saya dan keluarga mangsa belum membuat sebarang keputusan. Semuanya masih terserah kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada kes akan diteruskan atau tidak.
“Sebagai peguam pemerhati, kami tidak dapat membuat sebarang permohonan kepada mahkamah. Sebaliknya, boleh memohon kepada Timbalan Pendakwa Raya supaya dapat mengemukakan representasi bagi menyampaikan hasrat keluarga,” jelasnya.
Terdahulu, pelajar lelaki berusia 15 tahun dituduh membunuh remaja perempuan berusia 16 tahun itu diarahkan menjalani rawatan psikiatri selepas dia dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pada prosiding keputusan akhir kes pembelaan.
Pada Februari, pelajar terbabit mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh rakan sekolahnya berusia 16 tahun di tandas perempuan sekolah berkenaan, antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu. – UTUSAN
The post Ibu mangsa tikam akan terus cari keadilan untuk anak appeared first on Utusan Malaysia.






