
KUALA LUMPUR - Ibu kepada Yap Shing Xuen, 16, bertekad untuk terus memperjuangkan keadilan buat anaknya selepas Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan pembunuh mendiang kerana didapati tidak siuman dari segi undang-undang ketika kejadian.
“Maafkan ibu, anakku. Kami akan terus mencari keadilan untukmu,” kata Wong Lee Ping menerusi hantaran di Facebook hari ini susulan keputusan mahkamah itu.
Wong, yang merupakan ibu tunggal, menyifatkan kematian anaknya pada 14 Oktober tahun lalu sebagai detik paling gelap dan sukar dalam hidupnya.
“Saya seorang ibu tunggal. Perkahwinan saya dengan suami berakhir tidak lama selepas anak perempuan saya dilahirkan. Ketika itu, saya berasa kosong dan tidak berdaya, tidak tahu bagaimana seorang wanita mampu menyara keluarganya sendirian.
“Tarikh 14 Oktober 2025 merupakan detik paling gelap dan sukar untuk saya terima sepanjang hidup. Pada hari itu, saya menerima berita mengenai kematian anak saya. Seorang anak yang penyayang, mengambil berat dan rajin; mengapa dia diperlakukan dengan begitu kejam?” katanya.
Wong berkata, bergelar ibu kepada Shing Xuen merupakan antara perkara paling indah dan membanggakan dalam hidupnya.
“Jika saya diberi peluang sekali lagi, saya akan memeluk Shing Xuen erat-erat. Saya akan memberikan segala-galanya kepadanya dan tidak akan pernah menyesalinya sepanjang hayat.
“Menjadi ibunya adalah perkara paling indah dan membanggakan dalam hidup saya. Walaupun dia sudah tiada, dia tetap menjadi harta paling berharga yang pernah saya miliki,” katanya.
Sementara itu, peguam Nur Izni Syazwani Ahmad yang mengikuti prosiding berkenaan bagi pihak keluarga mangsa berkata, beliau akan menghubungi Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mendapatkan kepastian mengenai tindakan lanjut yang boleh diambil.
“Bagaimanapun, setakat ini, keluarga mangsa dan saya belum membuat sebarang keputusan. Segala-galanya masih bergantung kepada TPR untuk menentukan sama ada kes ini akan diteruskan atau sebaliknya.
“Sebagai peguam pemerhati, kami tidak boleh membuat sebarang permohonan kepada mahkamah. Sebaliknya, kami boleh mengemukakan permintaan kepada TPR supaya representasi dibuat bagi menyampaikan hasrat keluarga,” katanya.
Tertuduh yang berusia 15 tahun sebelum ini didakwa membunuh Shing Xuen dan diperintahkan menjalani rawatan psikiatri selepas dilepaskan dan dibebaskan pada akhir kes pembelaan.
Pada Februari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh rakan sekolahnya yang berusia 16 tahun di tandas perempuan sekolah berkenaan antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu. - Getaran, 14 September 2026


