‘Ibu nak rumah ni.. tolong senaraikan berapa duit kamu semua ada’

PropertyFamily & Parenting
20 Oct 2026 • 9:35 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Ibu nak rumah ni.. tolong senaraikan berapa duit kamu semua ada’

PETALING JAYA – Luahan seorang anak yang mendakwa berdepan tekanan daripada ibunya untuk menyediakan sejumlah wang bagi membeli sebuah rumah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Menerusi perkongsian di Threads, individu berkenaan mendakwa dia bersama adik-beradiknya diminta menyenaraikan jumlah wang yang dimiliki masing-masing untuk dikumpulkan bagi tujuan tersebut.

Menurutnya, dia tidak keberatan membantu ibu bapa, malah sejak mula bekerja tidak pernah terputus memberikan RM100 setiap bulan selain mengeluarkan lebih RM200 untuk membantu melangsaikan hutang mereka.

“Nak kata balas jasa sebab sudah besarkan dan beri pendidikan, saya bekerja kumpul duit untuk sambung belajar. Tidak pernah dapat duit daripada ibu bapa pun. Pendidikan yang dapat setakat yang wajib kerajaan tetapkan.

“Tidak kisah nak tolong, tetapi cara menekan-nekan, seolah-olah anak wajib serahkan segalanya kepada ibu bapa,” luahnya.

Berdasarkan tangkap layar perbualan keluarga yang dikongsikan, seorang wanita dipercayai ibu mereka meminta lima anaknya yang sudah dewasa menyatakan jumlah wang yang mampu disumbangkan.

Wanita itu turut mengingatkan anak-anak bahawa mereka akan menyesal sekiranya tidak memenuhi permintaannya sebelum dia meninggal dunia selain meminta wang tersebut diserahkan kepada salah seorang daripada mereka.

Individu terbabit kemudian menjelaskan bahawa rumah berkenaan sebenarnya sudah diketahui mengenai perancangannya sejak 10 tahun lalu, namun mendakwa persediaan kewangan tidak dilakukan secukupnya.

“Rumah ini sudah dapat maklumat 10 tahun lepas. Sepuluh tahun, ya. Dia minta penghuni sewa sediakan duit, tetapi hanya berseronok sahaja.

“Mak beli macam-macam, suplemen pemutih dan alat solek sampai ribuan ringgit. Air bancuh pula sampai 20 balang besar dibelinya mencecah RM1,500. Kami tidak pernah meminta apa-apa pun. Tahu-tahu macam ini kesudahannya,” katanya.

Dalam ruangan komen, individu itu turut memaklumkan mereka lapan beradik, namun lima daripadanya sudah dewasa terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan.

Katanya, adik-beradik sudah beberapa kali menasihatkan ibu bapa supaya mula membuat simpanan sejak tahun lalu, namun dakwanya mereka sering memberikan alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata pengguna berpandangan tanggungjawab seorang anak terhadap ibu bapa tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memberikan tekanan sehingga di luar kemampuan mereka.

“Ya Allah, sedihnya saya baca. Mak buat anak rasa bersalah sampai macam ini sekali. Tanggungjawab ibu bapa membesarkan anak, memberi makan dan pakaian, tetapi bukan semua itu perlu dibayar kembali.

“Moga Allah permudahkan segala kesulitan dalam hidup kamu. Sabar dan perbanyakkan solat serta doa. Allah beri ujian dan Allah akan beri jalan penyelesaian,” kata seorang pengguna.

“Saya tidak mahu menjadi ibu seperti ini,” manakala pengguna lain berpendapat seseorang anak tidak semestinya perlu memenuhi permintaan ibu bapa sekiranya perkara itu boleh memudaratkan kehidupan sendiri.

“Kalau boleh memudaratkan kehidupan kamu, tidak perlu dengar apa yang mak kamu minta. Tuhan itu Maha Mengetahui dan Maha Melihat. Mak bukan maksum,” komen pengguna lain.

Dalam pada itu, seorang pengguna turut menasihatkan individu tersebut supaya mencari pekerjaan jauh dan secara beransur-ansur mengurangkan hubungan sekiranya tekanan berkenaan berterusan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Ibu nak rumah ni.. tolong senaraikan berapa duit kamu semua ada’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved