
PETALING JAYA: Pelakon, Puteri Balqis, mendedahkan ibunya sekali lagi diserang penyakit sista atau lebih dikenali sebagai cyst selepas dalam tempoh dua bulan sembuh daripada penyakit berkenaan.
Puteri Balqis Azizi, 19, yang juga mesra disapa Aqish, berkata, keadaan ibunya merosot dengan cepat berikutan saiz cyst tersebut kian membengkak.
“Ibu Aqish kena cyst lagi dalam tempoh dua bulan. Hari ketiga tidak boleh berjalan langsung sebab cysts sudah besar separuh epal.
“Baru sahaja kami bawa dia jalan-jalan dan gembira tengok dia gelak. Ini sudah sakit balik dan sunyi balik bila balik rumah,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram miliknya.
Mengulas lanjut, Puteri Balqis turut meminta pandangan daripada orang ramai serta pengikutnya di media sosial yang mempunyai pengalaman mengendalikan penyakit berkenaan.
“Kalau awak ada pengalaman atau petua, kongsi-kongsilah dengan Aqish ya. Tekanan pascatrauma (PTSD) mommy agak teruk seminggu sebelum kena cyst, tetapi tidak ada kena mengena rasanya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Puteri Balqis menzahirkan terima kasih kepada bapa tirinya, Farris yang menjaga ibunya itu dengan sepenuh perhatian, selain tunangnya, Didi.
“Terima kasih Apak tidak tidur siang malam jaga isteri, besar jasa apak. Terima kasih Didi ambil alih kerja apak buat sementara, kami sayang Mommy dan Apak,” katanya.
The post Ibu Puteri Balqis alami cyst kali kedua, bengkak seperti buah epal appeared first on Utusan Malaysia.




