
KEMALANGAN ngeri melibatkan empat sekeluarga menaiki motosikal dalam perjalanan ke sekolah di di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu – Kuala Krai di Kampung Pek, Machang, Kelantan meruntun hati ramai.
Luluh hati! Ibu dan nenek kepada empat mangsa Hanita Yusoff, 48, difahamkan pengsan sebanyak empat kali setelah melihat kesemuanya cedera parah.
Anak ketiga kepada wanita tersebut, Mohd Shahril Rosli, 28 berkata, ibunya tidak dapat menahan kesedihan dan pengsan di dalam ambulans ketika mengiringi adik bongsunya, Mas Siti Rosnani Rosli, 7.
Kanak-kanak berkenaan ketika itu mengalami kecederaan koyakan teruk pada pangkal paha kanan, retak tulang punggung dan pendarahan dalam kepala selain tidak sedarkan diri. Manakala seorang lagi adiknya, Muhammad Muskir Rosli, 14, pula mengalami patah kedua-dua paha dan cedera pada bahagian saraf.

“Ibu sempat sampai di lokasi kemalangan dan kebetulan Mas Siti Rosnani sedang dibawa ke dalam ambulans.
“Dia ikut sekali dalam ambulans ke Hospital Machang, waktu dalam ambulans itulah dia pengsan tiga hingga empat kali,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) pada Isnin.

Sementara itu, cucu wanita berkenaan, Muhammad Zulhaqif mengalami patah pada paha kanan dan Muhamad Zulkifli pula pecah gusi dan patah paha kanan. Kesemuanya dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai.
Memetik portal berita tempatan, Mas Siti Rosnani koma susulan kecederaan dan dipindahkan ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk menjalani rawatan lanjut dan dipantau oleh doktor pakar.
Dalam perkembangan terbaharu, menurut bapa saudara, Nadzri Abdullah, 51, Mas Siti Rosnani telah menjalani pembedahan memotong kaki kanan hingga ke paras paha bagi mengelak komplikasi serius.

"Kaki kanan anak saudara saya terpaksa dipotong selepas berlaku pembekuan darah selain tisu dan isi daging pada bahagian kaki berkenaan sudah mati, selain mengelakkan komplikasi lebih serius terhadap keadaan Mas Siti Rosnani," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
ENGGAN KE SEKOLAH, 'GERAK' LEWAT
Sementara itu, abang dan bapa saudara mangsa, Mohd Shahril empat mengimbas kembali pada pagi Isnin,memaklumkan kedua-dua adik serta anak saudaranya enggan ke sekolah pada pagi sebelum kejadian dan tidak menyangka keengganan mereka menjadi petanda tragedi.
Mangsa, Mas Siti Rosnani terutamanya tidak mahu ke sekolah namun aku setelah dipujuk oleh ibu.

"Pada masa sama, mereka juga keluar rumah agak lewat, iaitu pada jam 7.10 pagi berbanding kebiasaannya pada jam 6.45 pagi, selain tidak sempat bersarapan," katanya.
Ujarnya lagi, mereka berempat ke sekolah dengan menunggang motosikal jenis Honda C100 milik Hanita dan jarak perjalanan dari rumah mereka di Kampung Berangan Mek Nab ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pek dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Intan adalah kira-kira lima kilometer.
Terdahulu, media melaporkan motosikal membawa keempat-empat mangsa melanggar bahagian hadapan sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Honda Jazz dinaiki guru.
Video tular berdurasi 29 saat memaparkan mangsa-mangsa terbaring cedera dan menahan sakit.
Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Supt Azuhar Md Nor, motosikal berkenaan dari arah Kuala Krai ke Machang telah membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang di sebelah kanan jalan.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Azuhar meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Machang di talian 09-9751222.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro 1, 2





