
Gara-gara kecuaian pihak klinik, anak pula jadi mangsa
Ibu Terkilan, Anak Meninggal Lepas 21 Kali Cirit-Birit Hanya Diberi Air Garam Oleh Klinik Kesihatan. Seorang ibu merasa kecewa dan terkilan apabila anaknya berusia dua tahun meninggal dunia, didakwa akibat kecuaian doktor di sebuah klinik kesihatan.
Menurut hantaran Facebook Erma Iswani, anaknya, Muhammad Umair Muhammad Ridhwan, 2, tidak mendapat rawatan yang sewajarnya sehingga menghembuskan nafas terakhir hanya dalam tempoh satu hari.

Erma menceritakan bahawa anaknya yang mengalami cirit-birit sebanyak 21 kali dalam sehari hanya diberikan tiga bungkus air garam ketika dia membawa anaknya ke klinik kesihatan pada 12 Julai.
Dia juga kecewa kerana anaknya tidak dirujuk ke hospital atau ujian darah tidak diambil walaupun mata anaknya sudah mula tenggelam.

Erma kemudian membawa anaknya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan kedua. Di sana, doktor mengambil ujian darah dan memberikan surat rujukan ke hospital kerana bacaan darah putih anaknya terlalu tinggi dan anaknya sudah tidak aktif.
Anaknya kemudian dibawa ke Hospital Bentong dan kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh, di mana dia menghembuskan nafas terakhir pada keesokan paginya.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus, mengatakan bahawa pihaknya akan menyiasat kes ini dan mengambil tindakan lanjut.
Menurut siasatan awal, kanak-kanak lelaki tersebut, yang juga seorang OKU dengan penyakit lewat perkembangan global (GDD), mula mendapatkan rawatan di sebuah klinik kesihatan pada 12 Julai selepas mengalami cirit-birit.



