Ibu Tunggal Dicekup Khalwat Dengan Kekasih, Siap Bawa Anak ‘Check-In’ Bersama

15 Feb 2024 • 12:16 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang ibu tunggal dicekup khalwat dengan kekasih di sebuah hotel di Pekan Lunas, Kulim pada malam tadi dalam operasi Op Malam Kasih Sayang sempena Hari Valentine atau Hari Kekasih.

Memetik Harian Metro, ibu tunggal itu sanggup membawa dua anaknya yang berusia empat dan enam tahun menginap di hotel berkenaan.

Ibu Tunggal Dicekup Khalwat Dengan Kekasih

image is not available

Foto: Harian Metro

Wanita berusia 41 tahun itu dicekup oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) dengan pasangannya yang berusia 43 tahun.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pihaknya telah melakukan operasi berkenaan bermula pada malam tadi hingga awal pagi ini.

Anwar berkata, hasil pemeriksaan di hotel teresbut mendapati satu pasangan mencurigakan bersama dua kanak-kanak berada di dalam bilik itu.

“Selepas disoal siasat, wanita itu mengaku dua kanak-kanak terbabit adalah anak kandungnya, manakala lelaki itu pula adalah teman lelakinya.

“Pasangan itu ‘terkantoi’ selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram ketika disoal siasat.

“Berikutan itu, mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar Sharifudin turut berkata pasangan terbabit masing-masing menetap di Pulau Pinang dan datang ke daerah itu sempena Hari Kekasih.

Pasangan itu dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 25(a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Jika disabitkan kesalahan, setiap seorang boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Dalam pemeriksaan berasingan bagi operasi yang sama, sepasang lagi kekasih ditangkap di sebuah motel di Jalan Lembah Impiana, Kulim.

image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut pasangan berkenaan, mereka terpaksa menyewa sebuah motel untuk berehat disebabkan hujan lebat selepas keluar berjalan-jalan di sekitar daerah itu dengan menunggang motosikal.

Pasangan tersebut turut dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan dan dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan diambil dan kes disiasat mengikut enakmen sama.

Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)