
IPOH: Seorang ibu tunggal dan jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Tertuduh, Shareen Noordin David Noordin, 53, dan Neoh Wooi Lee, 50, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan, Wooi Lee dan Shareen Noordin didakwa dengan tujuh pertuduhan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 kepada ejen Perkeso atas nama Century Super Solution, bagi permohonan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya 2.0 yang dengan secara prinsipalnya mempunyai kepentingan dan sebab untuk mempercayai mengandungi pernyataan palsu untuk mengelirukan ejen berkenaan.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis syarikat di Lorong Chengal, Taman Sunlight, Ipoh dalam daerah Kinta, antara 26 Mei 2024 hingga 26 Ogos 2024.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Shareen Noordin turut didakwa di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) untuk sembilan pertuduhan bagi kesalahan sama ke atas ejen Perkeso atas nama syarikat SN Super Clean Solution di alamat sama, antara 31 Mac 2024 hingga 4 September 2024.
Pada prosiding sama juga, Wooi Lee, didakwa bersubahat dengan Shareen Noordin atas kesalahan serupa di SN Super Clean Solution antara 31 Mac 2024 hingga 4 September 2024
Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dibaca bersama Seksyen 18 akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, G. Nanthini, manakala tertuduh Wooi Lee diwakili peguam, Sheshalini Ramesh.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh untuk setiap pertuduhan, selain memohon mahkamah mengenakan syarat supaya mereka melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali.
Bagaimanapun, Sheshalini memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,500 sebulan sebagai jurujual, perlu menyara seorang anak yang masih menuntut di universiti serta menghidap penyakit buah pinggang.
Sementara itu, Shareen Noordin yang tidak diwakili peguam turut merayu agar mahkamah menetapkan jaminan pada kadar minimum dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap, menghidap penyakit saraf dan kencing manis serta perlu menjaga seorang cucu orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, selain menetapkan 10 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN
The post Ibu tunggal, jurujual tidak mengaku buat tuntutan palsu Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.





