Enam pemilik, pengurus syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 1:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Enam pemilik, pengurus syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso

KOTA BHARU – Lima pemilik dan seorang pengurus syarikat termasuk dua beranak didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Tertuduh, Saipuddin Mohamad, 47, Nur Shahalwani Ab. Hamid,37, Nik Muhammad Afiq Rifqi Nik Araman, 29, bersama bapanya, Nik Araman Yusoff, 54, Eadzelin Azmi, 41 dan Mohamad Faiz Harith Hazman, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Saipuddin berdepan enam pertuduhan dan Nur Shahalwani empat pertuduhan manakala tiga lagi tertuduh termasuk dua beranak masing-masing didakwa dengan satu pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai pemilik syarikat didakwa memberi dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat masing-masing kepada ejen Perkeso yang mempunyai penyataan palsu dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya.

Perbuatan itu dilakukan bermula 18 Mei 2024 hingga 9 Oktober 2024 di sekitar Kota Bharu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau silap itu atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar dan Asmah Che Wan, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam kecuali Nur Shahalwani.

Terdahulu, Mariah dan Asmah mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan kepada setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM8,000 hingga RM14,000 kepada setiap tertuduh selain menetapkan 13 September ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

The post Enam pemilik, pengurus syarikat didakwa buat tuntutan palsu Perkeso appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved