Ibu tunggal rayu kerajaan bina rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin

7 Aug 2025 • 10:24 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Ahmad Apong

BEAUFORT: Seorang ibu tunggal merayu agar kerajaan meluluskan permohonannya untuk membina sebuah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)Sainah Ahad berkata rumah didiaminya sekarang di Kampung Tamalangalong kini tidak lagi selamat untuk diduduki.

Sainah, yang hanya menjaja ikan di tepi pasar dengan pendapatan kurang daripada RM700 sebulan, berkata dia telah memohon rumah PPRT sejak 1992 dan turut berdaftar dalam sistem e-Kasih, namun permohonannya dibatalkan secara tiba-tiba pada 2016 tanpa sebarang penjelasan.

window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Sejak suami saya meninggal dunia pada 2013, rumah ini sudah tidak terurus. Saya sudah lebih 10 kali mohon rumah PPRT, tetapi semua permohonan tidak berjaya. Awal Julai lalu, saya datang lagi untuk mohon, tapi disuruh balik begitu saja,” katanya kepada Daily Express, Isnin.

Menurutnya, beberapa batang tiang rumahnya telah patah dan hanya ditongkat sementara. Keadaan rumah yang bocor di sana sini menyebabkan dia berasa bimbang, apatah lagi ketika musim hujan.

“Saya pernah dua kali mengalami banjir yang masuk ke dalam rumah. Bila hujan, kami terpaksa cari tempat yang tidak bocor untuk berteduh,” katanya.

Dia juga meluahkan kebimbangan jika hujan lebat disertai angin kencang berlaku, rumahnya bergegar seolah-olah akan diterbangkan angin kerana hampir keseluruhan atap telah bocor.

“Monyet pun senang saja masuk dari atas siling yang sudah rosak sebab cari makanan. Saya susah hati, risaukan anak dan cucu,” tambahnya.

Sainah kini tinggal bersama tujuh ahli keluarga, termasuk cucu-cucunya. Suami kepada anaknya bekerja sebagai buruh. Pendapatannya tidak mencukupi dan hanya digunakan untuk membayar bil elektrik dan air.

Rumah yang didiami sekarang merupakan rumah pusaka peninggalan ayahnya dan dahulunya dibaiki oleh suaminya, namun selepas kematian suaminya pada 2013, kerosakan rumah tidak lagi mampu dibaiki kerana kekangan kewangan.

“Kami memang tak mampu bina rumah baharu. Pendapatan pun sekadar cukup untuk makan seharian. Saya hanya mahu rumah PPRT ini untuk ditinggalkan kepada cucu-cucu sebelum apa-apa terjadi kepada saya. Tapak pun sudah tersedia, tetapi permohonan masih tiada jawapan,” katanya.

Sainah turut merayu kepada wakil rakyat Lumadan, Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah agar meninjau sendiri keadaan rumahnya dan mempertimbangkan kelulusan pembinaan rumah PPRT bagi keluarganya.